Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kisah Rasulullah SAW dikejar jin ifrit dalam peristiwa Isra’ dan apa status hadithnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dikatakan bahawa pada malam Isra’, Jin Ifrit mengejar Nabi SAW sambil memegang obor api. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Malik dalam al-Muwatta’, daripada Yahya bin Sa‘id, katanya:

أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَأَى عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ يَطْلُبُهُ بِشُعْلَةٍ مِنْ نَارٍ، كُلَّمَا الْتَفَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَآهُ، فَقَالَ لَهُ جِبْرِيلُ: أَفَلَا أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ تَقُولُهُنَّ، إِذَا قُلْتَهُنَّ طَفِئَتْ شُعْلَتُهُ، وَخَرَّ لِفِيهِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَلَى، فَقَالَ جِبْرِيلُ فَقُلْ: أَعُوذُ بِوَجْهِ اللَّهِ الْكَرِيمِ، وَبِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ اللَّاتِي لَا يُجَاوِزُهُنَّ بَرٌّ وَلَا فَاجِرٌ، مِنْ شَرِّ مَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ، وَشَرِّ مَا يَعْرُجُ فِيهَا، وَشَرِّ مَا ذَرَأَ فِي الْأَرْضِ، وَشَرِّ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا، وَمِنْ فِتَنِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَمِنْ طَوَارِقِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، إِلَّا طَارِقًا يَطْرُقُ بِخَيْرٍ يَا رَحْمَنُ “

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW diisra’kan, maka Baginda melihat Ifrit daripada kalangan Jin yang mengejarnya dengan membawa obor api. Setiap kali Rasulullah SAW menoleh, Baginda akan melihatnya. Maka Jibril berkata kepada Baginda: ‘Tidakkah engkau mahu aku ajarkan beberapa kalimat yang jika engkau ucapkan, nescaya ia akan memadamkan obor apinya dan jatuh ke mulutnya.’ Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘Baiklah.’ Maka Jibril berkata: ‘Aku berlindung dengan Zat Allah yang Maha Pemurah, dengan kalimat-kalimat Allah yang Maha Sempurna, yang tidak pernah melebihi batas kebaikan dan tidak pernah tersentuh kejahatan, daripada keburukan musibah yang turun dari langit, daripada keburukan maksiat yang naik ke langit, daripada keburukan sesuatu yang tercipta di muka bumi, daripada keburukan sesuatu yang keluar dari perut bumi, daripada sebarang fitnah di waktu malam dan siang, dan daripada keburukan hal baru pada malam dan siang, melainkan semuanya boleh mengetuk kebaikan, Wahai Yang Maha Pengasih.’

Riwayat Malik dalam al-Muwatta’ (10), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (10727).

Hadith ini dinilai dha‘if kerana diriwayatkan secara mu’dhal dan terputus sanadnya. Terdapat jalur lain yang menceritakan kisah ini, iaitu:

  • Riwayat Khalid bin al-Walid. Antara yang meriwayatkannya adalah al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5415), al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (7/96), Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (25146) dan selainnya. Riwayat ini berstatus hasan, tetapi tidak dinyatakan bahawa Ifrit mengganggu Nabi SAW pada malam Isra’ dan Mi‘raj, tetapi sebaliknya Khalid al-Walid yang diganggu oleh Ifrit.
  • Riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Abd al-Barr dengan sanad yang bersambung, tetapi terdapat pertikaian padanya. Hal ini kerana riwayat ini menceritkan peristiwa ini berlaku pada malam Nabi SAW bertemu jin dan bukannya pada malam Isra’ dan Mi‘raj. Bahkan riwayat ini juga dinilai dha‘if kerana terdapat padanya perawi yang majhul yang bernama Ayyasy al-Sulami. (Lihat al-Tamhid, 24/112; Mizan al-I‘tidal, 3/307).
  • Riwayat Abd al-Rahman bin Khanbasy sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya (15460), Abu Ya‘la dalam Musnadnya (6844) dan Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (25149). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (15460) menilai riwayat ini sebagai dha‘if kerana terdapat perawi bernama Ja‘far bin Sulaiman yang bersendiri dalam meriwayatkan hadith ini.

Justeru, walaupun riwayat daripada Jalur Abd al-Rahman bin Khanbasy dan Ibn Mas‘ud diterima kerana saling menyokong antara satu sama lain, tetapi riwayat-riwayat ini tidak menyebut bahawa ia berlaku pada malam Isra’ dan Mi‘raj. Oleh itu, kisah ini adalah thabit, tetapi bukannya berlaku pada malam Isra’ dan Mi‘raj. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply