Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah orang berpuasa layak memasuki syurga melalui pintu al-Rayyan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Sahl R.A, Nabi SAW telah bersabda:

إِنَّ فِي الجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَقُومُونَ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ، فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya (pintu tersebut) pada hari kiamat, serta tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Ditanyakan: “Dimanakah orang-orang yang berpuasa?” Lalu mereka pun berdiri. Tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Apabila mereka telah masuk, pintu itu ditutup, dan tidak ada seorang pun yang masuk (lagi) melaluinya.”

Riwayat al-Bukhari (1896) dan Muslim (1152)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (6/132) menjelaskan: Al-Rayyan adalah nama salah satu pintu di syurga yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa. Lafaz tersebut sesuai dengan maknanya, kerana al-Rayyan berasal daripada perkataan ‘الرِّيّ’ (tidak merasa dahaga). Ia bersesuaian dengan keadaan orang-orang yang berpuasa. Bahkan, disebutkan bahawa sesiapa yang masuk melalui pintu tersebut, maka dia tidak akan merasa haus lagi selama-lamanya.

Al-Qurtubi berkata: “Disebutkan dengan lafaz ‘الرِّيّ’ (tidak merasa dahaga) tanpa menyentuh berkenaan ‘kenyang’ kerana perkataan kedua tersebut merupakan kesinambungan kepada perkataan yang pertama.” Kata al-Hafiz Ibn Hajar: “Atau kerana dahaga itu lebih berat daripada lapar bagi orang yang berpuasa.”

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi: Hadith ini telah diriwayatkan melalui jalur lain dengan lafaz: ‘إِنَّ لِلْجَنَّةِ ثَمَانِيَة أَبْوَاب ، مِنْهَا بَاب يُسَمَّى الرَّيَّان لَا يَدْخُلهُ إِلَّا الصَّائِمُونَ’ (Sesungguhnya syurga memiliki lapan pintu. Antaranya terdapat pintu yang bernama al-Rayyan. Hanya orang-orang yang berpuasa yang masuk melalui pintu itu). Demikian al-Jauzaqi meriwayatkan melalui jalur Abu Ghassan daripada Abu Hazim. Imam al-Bukhari juga meriwayatkan melalui jalur yang sama dalam pembahasan tentang awal mula penciptaan, tetapi disebutkan dengan lafaz ‘فِي الْجَنَّة ثَمَانِيَة أَبْوَاب’ (Di syurga ada lapan pintu). (Lihat Fath al-Bari, 6/132)

Imam al-Nawawi menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/155)

Mulla al-Qari berkata: Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir, bunga dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.” (Lihat Mirqat al-Mafatih, 4/1361)

Izzuddin bin Abd al-Salam dalam kitab Fawaid al-Saum menyebut: Adapun dikhususkan kepada mereka memasuki syurga dari pintu al-Rayyan kerana keistimewaan ibadat mereka dan kemuliaannya.”

Itulah suatu gambaran yang sebenarnya tentang makna yang didapati pada kalimah al-Rayyan dan ianya buat selama-lamanya bagi penghuni syurga yang menjalankan segala urusan Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply