Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat kaum yang bibir mereka seperti unta dan menelan batu dari neraka, yang dilihat oleh Nabi SAW semasa peristiwa Israk Mikraj. Apa status hadis tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, daripada Nabi SAW berkenaan malam Baginda diisra’kan, dan di dalamnya disebutkan:

نَظَرْتُ فَإِذَا أَنَا بِقَوْمٍ لَهُمْ مَشَافِرُ كَمَشَافِرِ الإِبِلِ، وَقَدْ وُكِّلَ بِهِمْ مَنْ يَأْخُذُ بِمَشَافِرِهِمْ، ثُمَّ يَجْعَلُ فِي أَفْوَاهِهِمْ صَخْرًا مِنْ نَارٍ، يَخْرُجُ مِنْ أَسَافِلِهِمْ، قُلْتُ: يَا جِبْرِيلُ، مَنْ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ اليَتَامَى ظُلْمًا، إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا.

Maksudnya:Aku melihat kaum yang bibirnya laksana bibir unta, dan sesungguhnya ada malaikat yang diserahkan tugas untuk menarik bibir mereka. Kemudian mulut mereka itu diisi dengan batu yang besar dan nanti batu besar itu akan keluar dari punggung mereka. Maka aku bertanya: ‘Wahai Jibril, siapakah mereka itu?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, dan sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka.’

Riwayat Ibn Jarir al-Tabari dalam Jami‘ al-Bayan (6/454) dan Abd al-Razzaq al-San‘ani dalam Tafsir ‘Abd al-Razzaq (2/283).

Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah (11/809-810) menilainya sebagai dha‘if jiddan (tersangat lemah). Menurutnya lagi, ia telah diriwayatkan oleh Ibn Jarir dalam tafsirnya (4/184) daripada jalur Abu Harun al-‘Abdi, daripada Abu Sa‘id al-Khudri. Abu Harun ini, namanya ialah ‘Imarah bin Juwain dan dia adalah seorang matruk (yang ditinggalkan riwayatnya), dan ada juga yang menilainya sebagai pendusta. Namun, hadith ini juga turut disandarkan oleh al-Suyuti kepada Ibn Abi Hatim. Akan tetapi sanadnya daripada jalur ini juga adalah lemah sebagaimana yang dapat dilihat dalam Tafsir Ibn Kathir (1/456) dan ia merupakan potongan daripada hadith yang panjang berkenaan peristiwa Isra’ dan Mi‘raj; yang juga diriwayatkan oleh Ibn Jarir dalam tafsirnya (15/10-12) dan al-Baihaqi dalam al-Dala’il (2/136-142) daripada jalur Abu Harun sebagaimana yang telah disebutkan (berkenaan statusnya). Selain itu, Ibn Kathir turut menyebut riwayat itu secara panjang dalam tafsirnya melalui jalur tersebut dan berkata, ia telah dinilai dha‘if oleh para Imam disebabkan keganjilan hadith ini dan nakarah (kemungkaran) yang terdapat di dalamnya.

Selain daripada itu, jika dilihat dalam al-Quran sememangnya dinyatakan bahawa hukuman untuk orang yang makan harta anak yatim secara zalim adalah telan api neraka. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

 إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا ‎

Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

(Surah al-Nisa’: 10)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply