Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah nabi melihat dunia seperti wanita tua dalam peristiwa isra mi’raj? Dan apakah status hadithnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
وَسَارَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا هُوَ بِعَجُوزٍ عَلَى جَانِبِ الطَّرِيقِ، فَقَالَ: «مَا هَذِهِ يَا جِبْرِيلُ» ؟ قَالَ لَهُ: سِرْ يَا مُحَمَّدُ، فَسَارَ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَسِيرَ، فَإِذَا شَيْءٌ يَدْعُوهُ مُتَنَحِّيًا عَنِ الطَّرِيقِ يَقُولُ: هَلُمَّ يَا مُحَمَّدُ، فَقَالَ جِبْرِيلُ: سِرْ يَا مُحَمَّدُ، فَسَارَ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَسِيرَ… ثُمَّ قَالَ لَهُ جِبْرِيلُ: أَمَّا الْعَجُوزُ فَلَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا بَقِيَ مِنْ عُمْرِ تِلْكَ الْعَجُوزِ، وَأَمَّا الَّذِي أَرَادَ أَنْ تَمِيلَ إِلَيْهِ، فَذَاكَ عَدُوُّ اللَّهِ إِبْلِيسُ، أَرَادَ أَنْ تَمِيلَ إِلَيْهِ.
Maksudnya: “Rasulullah SAW bertolak dan Baginda terlihat seorang wanita tua di pinggir jalan. Baginda pun bertanya: ‘Siapa itu wahai Jibril?’ Jibril berkata: ‘Jalan terus, wahai Muhammad.’ Maka Baginda pun jalan terus sekadar apa yang Allah kehendaki, tiba-tiba ada sesuatu yang berada jauh dari jalan memanggil Baginda: ‘Ke sini, wahai Muhammad.’ Lalu Jibril berkata: ‘Jalan terus, wahai Muhammad.’ Maka Baginda jalan terus sekadar apa yang Allah kehendaki…. Lalu Jibril berkata kepada Baginda: ‘Berkenaan wanita tua yang kamu lihat di pinggir jalan tadi, umur dunia hanya sekadar umur yang berbaki bagi wanita tua tersebut, manakala orang yang mahu kamu menyimpang pergi kepadanya itu ialah musuh Allah, Iblis. Dia mahu kamu menyimpang pergi kepadanya.’”
Riwayat al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/362), al-Tabari dalam Tafsirnya (14/422) dan al-Suyuti dalam al-Khasais al-Kubra (1/155-156)
Hadith ini dinilai dha‘if dan tiada penguat. Hal ini kerana dalam sanad ini terdapat perawi bernama Abd al-Rahman bin Hasyim merupakan perawi yang majhul. (Lihat al-Isra’ wa al-Mi‘raj wa Zikr Ahadithihima wa Takhrijiha wa Bayan Sahiha, hlm. 41).
Ibn Kathir pula berkata: Riwayat ini mengandungi nakarah dan gharabah iaitu sesuatu yang tidak dapat diterima dan pelik. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/9).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”