Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah berpuasa satu hari menjarakkan daripada api neraka sejauh 70 tahun?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh (perjalanan) tujuh puluh musim gugur (tahun).”
Riwayat al-Bukhari (2840) dan Muslim (1153)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sabda Baginda, ‘سَبْعِينَ خَرِيفًا’ (tujuh puluh musim gugur (musim)). Lafaz ‘خَرِيف’ pada asalnya bermaksud musim gugur. Tetapi yang dimaksudkan pada hadith ini adalah tahun. Adapun pengkhususan dengan disebut ‘musim gugur’, dan tidak disebut musim-musim yang lain (seperti musim panas, musim sejuk, musim bunga), adalah kerana musim gugur merupakan musim yang paling baik, kerana pada musim ini, waktu menuai dan memetik buah-buahan.
Al-Fakihani menyatakan bahawa dalam ‘musim gugur’, telah terkumpul panas, sejuk, kering dan basah, dan yang demikian itu tidak ditemui pada musim yang lain. Tetapi pernyataan ini ditolak, kerana hal sedemikian juga terdapat pada musim bunga. Demikian yang dinyatakan oleh al-Qurtubi.
Adapun penyebutan angka tujuh puluh adakah bagi menyatakan jumlah yang banyak. Untuk memperkuat pandangan ini, bahawa al-Nasa’ie telah meriwayatkan hadith tersebut daripada Uqbah bin Amir, al-Tabarani daripada Amr bin Abasah dan Abu Ya’la daripada Mu’az bin Anas, semuanya menyatakan seratus tahun. (Lihat Fath al-Bari, 16/131)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”