Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada orang kata, dalam peristiwa isra mikraj, Rasulullah SAW melihat kalimah syahadah dan juga nama khulafa rasyidin tertulis pada Arasy Allah. Adakah benar dan apa status hadisnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diceritakan bahawa pada malam Isra’ dan Mi’raj, Rasulullah SAW melihat kalimah syahadah dan juga nama khulafa’ al-Rasyidin tertulis pada ‘Arasy Allah sebagaimana dikatakan dalam riwayat daripada Ali bin Husin bin Ali, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي رَأَيْتُ عَلَى العَرْشِ مَكْتُوبًا: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه مُحَمَّد رَسُولُ اللَّهِ، أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ، عُمْرُ الفَارُوق، عُثْمَانُ ذُو النُّورَيْنِ، يُقْتَلُ مَظْلُومًا

Maksudnya: Malam aku diisrakkan, aku telah melihat di atas ‘Arasy tertulis: Tidak ada Tuhan yang layak disembah selain Allah, Muhammad adalah Rasulullah, Abu Bakr al-Siddiq, ‘Umar al-Faruq, ‘Uthman Zu al-Nurain akan dibunuh secara zalim.

Riwayat al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (10/264), Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (39/51).

Ibn Jauzi dalam kitab al-Maudhu’at (2/91) menyatakan bahawa hadith ini tidak sahih. Ia juga disebut oleh al-Suyuti dalam al-Lali’ al-Masnu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah (1/293) bahawa dalam sanad hadith ini, terdapatnya Abu Bakar bin Abd al-Rahman bin Affan al-Sufi dan gurunya yang merupakan pendusta dalam hadith. Begitu juga disebut oleh Syeikh Masyhur bin Hasan dalam kitab Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah wal-Mawdhu‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrij, (hlm. 1369–1370, no. 6977).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply