Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah dalam isra mikraj nabi dibawa ke masjid Kufah terlebih dahulu dan apa status hadisnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diceritakan bahawa sebelum Nabi dimi‘rajkan, Baginda dibawa ke Kufah terlebih dahulu dan Baginda solat di sana sebanyak dua rakaat. Hal ini sebagaimana riwayat  berikut:

لَمَّا أُسْرِِيَ بِي مَرَرْتُ عَلَى مَوْضِعِ مَسْجِدِ الْكُوفَةِ وَأَنَا عَلَى الْبُرَاقِ وَمَعْي جِبْرَئِيلُ، فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ، انْزِلْ فَصَلَّ فِي هَذَا الْمَكَانِ، قَالَ: فَنَزَلَتْ فَصَلَّيْتُ، فَقُلْتُ: يَا جِبْرَئِيلُ، أَيُّ شَيْءٍ هَذَا الْمَوْضِعُ، قَالَ: يَا مَحَمَّدُ، هَذِهِ كَوْفَانُ، وَهَذَا مَسْجِدُهَا

Maksudnya:Ketika aku diisra’kan, aku melalui kawasan Masjid al-Kufah dan aku berada di atas Buraq dan bersama aku Jibril. Maka Jibril pun berkata: ‘Wahai Muhammad, turunlah dan solatlah ditempat ini.’ Aku pun turun dan solat di situ. Setelah solat, aku bertanya kepada Jibril: ‘Tempat apakah ini?’ Jibril menjawab: ‘Wahai Muhammad, inilah Kufah dan ini masjidnya.’”

Namun begitu, kisah ini adalah palsu dan tidak dijumpai dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar, akan tetapi ia diriwayatkan dalam kitab Syiah sebagaimana yang disebutkan oleh ulama Syiah yang bernama Ibn Babawaih al-Qummi  dalam kitabnya, Man La Yadhurruhu al-Faqih (no. 695).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply