Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. benarkah terdapat kisah batu yang tergantung dalam peristiwa mikraj Nabi SAW dan apa status hadisnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diceritakan bahawa ketika Nabi SAW hendak dimi‘rajkan ke langit, terdapat batu yang ingin mengikuti Baginda ke langit, tetapi para Malaikat menahan batu tersebut, lalu batu tersebut kekal tergantung antara bumi dan juga langit.

Kisah batu ini adalah palsu sebagaimana yang disebutkan oleh Mahmud bin Abdullah al-Alusi, katanya:

وَمِنَ الْأَكَاذِيبِ الْمَشْهُوَرِة أَنَّهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا أَرَادَ الْعُرُوجَ صَعِدَ عَلَى صَخْرَةِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ وَرَكِبَ الْبُرَاقَ فَمَالَتِ الْصَّخْرَةُ وَارْتَفَعَتْ لِتَلْحَقَهُ فَأَمْسَكَتْهَا الْمَلَائِكَةُ فَفِي طَرَفٍ مِنْهَا أَثَرُ قَدَمِهِ الشَّرِيفِ وَفِي الطَّرَفِ الْآخَرِ أَثَرُ أَصَابِعِ الْمَلَائِكَةِ عَلَيْهِمُ السَّلَامُ فَهِيَ وَاقِفَةٌ فِي الْهَوَاءِ قَدْ انْقَطَعَتْ مِن كُلِّ جِهَةٍ لَا يُمْسِكُهَا إِلَّا الَّذِي يُمْسِكُ السَّمَاءَ أَنْ تَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى

Maksudnya:Antara penipuan dan pembohongan yang tersebar luas adalah ketika mana Baginda SAW ingin naik ke langit, baginda naik ke atas batu Baitul Maqdis dan menunggang Buraq, lalu batu tersebut turut naik untuk mengikuti baginda, namun para Malaikat menahannya. Oleh kerana itu, di satu sudut pada batu tersebut, terdapat kesan tapak kaki baginda yang mulia, manakala pada satu sudut yang lain pula, terdapat kesan jari-jari para Malaikat. Batu tersebut tergantung di udara tanpa ada yang menahannya melainkan Tuhan yang menahan langit daripada jatuh ke bumi.” (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 8/11).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply