Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah sifat Ya’juj dan Ma’juj ini? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan apa yang Rasulullah SAW sifatkan, mereka adalah:

  • Bangsa yang kuat, tubuh yang gagah.
  • Tiada manusia mampu memerangi mereka.
  • Mereka mempunyai muka yang lebar.
  • Kecil matanya.
  • Bilangan mereka sangat ramai sepertimana hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak berbanding dengan manusia yang hanya satu perseratus daripada mereka. Begitu juga pendapat Ibnu Kathir, jumlah mereka cukup ramai.
  • Mengikut riwayat Umar ibn ‘Aus, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj mampu bersetubuh mengikut kemahuan mereka, Dan tidak mati seoroang lelaki dari kalangan mereka melainkan meninggalkan zuriat seribu atau lebih.” (Lihat al- Sunan al-Kubra oleh al-Nasa’ie, no. 11334)
  • Imam al-Alusi berpendapat bahawa Ya’juj dan Ma’juj mempunyai umur yang paling panjang.
  • Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di berkata, mereka adalah manusia dan bukanlah hidup di alam ghaib dan bukan juga seperti jin. (Lihat Fitnatu Dajjal wa Ya’juj wa Ma’juj (terj.) oleh Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa’di, hlm. 11)

Ya’juj dan Ma’juj dikatakan umat kufur kepada Allah. Ini berdasarkan nas. Adapun mereka akan keluar daripada tempat dua gunung yang besar pada negeri kawasan Atrak, akan menghala ke laut mati sebagaimana hadis. Dan daripada situ menuju ke Baitul Maqdis di Palestin. Masa keluar mereka adalah pada zaman Nabi Isa bin Maryam dan lebih tepat lagi selepas Nabi Isa membunuh Dajjal.

Walaupun begitu, saya nukilkan pendapat Sheikh Abdul Karim Khatib menyatakan bahawa tidaklah diketahui sama ada Ya’juj dan Ma’juj punya perbezaan ketara dari sudut tubuh, mungkin ada kelainan dari segi warna kulit, akhlak dan adat, tapi mungkin dari sudut kekuatan dan membentuk kerajaan.

Jika anda mahu dapatkan info lanjut tentang ya’juj dan ma’juj ini, anda boleh dapatkan buku kami yang khusus tentang akhir zaman:

https://pck.onpay.my/order/form/akhirzaman01/188

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Leave a Reply