Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum daging ayam (halal) yang telah busuk dan dihurung ulat berenga. Apakah daging dan ulat itu, najis  kedua-duanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Suka kami nyatakan, kami telah jawab persoalan ini dalam artikel sebelum ini:

#3052: Makan Daging Ayam Busuk[1]

Justeru itu, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan (tidak mengapa) tetapi makruh hukumnya untuk memakan daging ayam yang busuk dan begitu juga dengan daging-daging halal lain yang sudah busuk, dengan syarat ia tidak membahayakan atau memudaratkan pemakannya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Sekiranya ia membahayakan atau memudaratkan pemakannya, maka hukumnya adalah haram. Ini selari dengan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Begitu juga, daging ayam yang telah busuk dan ulat tersebut tidaklah dikira najis, namun sekiranya dengan memakan daging ayam tersebut boleh memudaratkan orang yang memakannya, maka hukumnya adalah haram seperti yang disebutkan di atas.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا رِزْقًا حَسَنًا وَاسِعًا حَلاَلاً طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ وَأَنْتَ خَيْرُ الرَّازِقِيْنَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, rezekikanlah kami rezeki yang baik, luas, halal dan bersih serta diberkati. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] https://maktabahalbakri.com/3052-makan-daging-ayam-busuk/

Leave a Reply