Soalan

Apakah lelaki akan menanggung dosa tanggungan perempuannya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Setiap mukallaf pada asal syara’ tidak kira lelaki ataupun perempuan yang sudah baligh bertangunggjawab terhadap amalan, perbuatan, pahala dan dosa masing-masing.  Mereka tidak akan menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”

(Surah al-Fatir: 18)

Firman Allah SWT:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Maksudnya:Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.

(Surah al-An’am: 164)

Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 3/383-384).

Kami rangkumkan perbincangan ini dalam beberapa asas berikut:

  • Setiap aqil baligh, dosanya ditanggung sendiri, bukan ibu ayah, adik beradik, mahupun suami.
  • Ibu bapa atau penjaga dianggap bersalah apabila membiarkan anak-anaknya berbuat dosa tanpa menasihati, menegah, mencegah munkar apatahlagi jika mengiyakan kebatilan tersebut.
  • Hendaklah setiap ahli keluarga saling berpesan dan menasihati. Inilah asas Islam yang diajar oleh Nabi SAW:

“الدِّينُ النَّصِيحَةُ” قُلْنَا لِمَنْ؟ قَالَ: “للَّهِ, وَلِكِتَابِهِ, وَلِرَسُولِهِ, وَلأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ”

Maksudnya:Agama itu adalah nasihat”. Tanya sahabat, “Kepada siapa?” Baginda menjawab: “Kepada Allah, KitabNya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum muslimin, dan mereka secara umumnya.”

Riwayat Muslim (55)

Ibn Hajar menyatakan: Nasihat kepada orang Islam keseluruhanya bermaksud:

  • menunjukkan jalan bagi mereka (masyarakat Islam) bagi keperluan mereka dalam urusan akhirat dan dunia,
  • membantu mereka dalam perkataan dan perbuatan, menutup aurat mereka (keaiban mereka),
  • memenuhi keperluan mereka yang mendesak,
  • menghalang mudarat daripada kena pada mereka,
  • mendatangkan kebaikan kepada mereka,
  • menyuruh mereka berbuat kebaikan,
  • menegah mereka daripada kemungkaran dengan cara yang sesuai pada tempatnya,
  • menghormati orang-orang tua mereka,
  • mengasihani kanak-kanak, berpesan dengan pesanan yang baik,
  • meninggalkan tipu daya dan hasad dengki mereka,
  • mencintai suatu yang baik bagi diri mereka perkara yang dia cintai bagi diri sendiri,
  • dan membenci suatu perkara yang buruk ditimpa kepada mereka seperti mana jika berlaku pada diri sendiri,
  • mempertahankan harta benda dan maruah mereka,
  • menyeru mereka untuk berakhlaq dengan apa yang termasuk dalam erti kata nasihat,
  • dengan mengikut petunjuk generasi Salafussoleh R.anhum.

Bahkan ada sebahagian salaf yang bersungguh-sungguh melakukan nasihat sehingga tergadai kepentingan dunia mereka sedangkan mereka tidak kisah.” (Lihat al-Fath al-Mubin 1/257).

Setiap mukmin wajib menjaga diri mereka dan ahli keluarga mereka daripada api neraka sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. (Lihat Tafsir al-Wasith, 476/14).

Wallahu a`lam.

Bertarikh 11 November 2021 M bersamaan  6 Rabiul Akhir 1443 H

Leave a Reply