Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami salasilah nenek moyang Imam Syafi’i?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Imam al-Syafi‘i adalah imam yang ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran. Beliau adalah pendokong kepada ilmu hadith dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad ke-2 Hijrah.
Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata, diceritakan dari Nabi SAW bahawa Allah SWT menghantar kepada umat ini seorang pembaharu agama. Khalifah ‘Umar bin Abd al-‘Aziz dihantar untuk seratus tahun yang pertama dan aku berharap Imam al-Syafi‘i untuk seratus tahun yang kedua.
Imam al-Syafi‘i hidup semasa pemerintahan ‘Abbasiyah. Di waktu ini adalah suatu permulaan bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Di samping itu juga, penterjemahan kitab-kitab, ilmu falsafah mulai meluas, dipindahkan serta disusun dan berbagai-bagai fahaman telah timbul dalam masyarakat Islam. Pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan masyarakat telah berlaku dan pelbagai aliran pemikiran pula berkembang. Percubaan untuk membuat kacau dan kejahatan di kalangan umat telah berlaku daripada golongan al-Mutakallimin serta pengacau yang telah keluar dari agama. Perbezaan antara kelompok Ahlu al-Hadith dan Ahlu al-Naqli dengan kelompok Ahlu al-Ra’yi mula diketahui ramai.
Perbincangan dan perdebatan antara kedua-duanya semakin meluas, tetapi Imam al-Syafi‘i lebih rapat kepada kelompok yang pertama.
Kerajaan Islam mulai berkembang dan ibu-ibu kota yang besar membangun, yang terkenal sebagai gedung ilmu pengetahuan seperti kota Baghdad, Kufah, Basrah, Damsyiq, Fustat, Qurtubah, Qairawan dan lain-lain lagi.
Nama, Kelahiran dan Keturunan Imam al-Syafi‘i
Nama sebenar Imam al-Syafi‘i ialah Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi‘ bin al-Sa’ib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin ‘Abd Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka‘b bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik ibn al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma‘ad bin ‘Adnan bin Ud bin Udad bin al-Hamaisa‘ bin Yakhsyab bin Bait bin Salaman bin Haml bin Qaidar bin Isma‘il bin Ibrahim. (Lihat Jumhurah Ansab al-Arab, hlm. 73; Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/5; Manazil al-A’immah al-Arba‘ah, hlm. 198)
Jadi, nasab Imam al-Syafi‘i bertemu dengan nasab Nabi SAW pada datuknya yang bernama ‘Abd Manaf.
Sulaiman al-Jamal membawakan dua pendapat dalam hasyiahnya, Hasyiah al-Jamal (1/23) berkenaan nama ibu Imam al-Syafi‘i. Pendapat pertama dan ini merupakan pendapat yang syaz yang diriwayatkan oleh al-Hakim Abu ‘Abdillah al-Hafiz bahawa ibu Imam al-Syafi‘i ialah Fatimah binti Abdullah bin al-Hasan bin al-Husain bin Ali bin Abu Talib. Pendapat kedua dan ini merupakan pendapat yang masyhur, bahawasanya ibu Imam al-Syafi‘i daripada suku Azdi. Pendapat kedua ini adalah pendapat yang lebih mendekati kebenaran iaitu ibunya adalah Azdiyyah, bukannya Hasyimiyyah. Inilah pandangan yang ditegaskan oleh Imam al-Nawawi bersama dengan mereka yang sama-sama menegaskannya atau menyatakan pendapat yang sama. (Lihat al-Imam al-Syafi‘i Faqih Sunnah al-Akbar oleh al-Daqir, hlm. 42)
‘Abd al-Ghani al-Daqir menyatakan dalam kitabnya, tidak terdapat maklumat berkenaan bapa Imam al-Syafi‘i melainkan dia adalah seorang lelaki yang berasal dari Tabalah, dan dia tinggal di Madinah. Namun, muncul beberapa perkara yang tidak disukainya di sana, lalu dia keluar ke ‘Asqalan dan menetap di sana. Kemudian dia meninggal dunia di sana. Dia juga adalah seseorang yang kurang berkemampuan (miskin).
Manakala datuknya, al-‘Abbas bin Uthman, hanya diketahui bahawa beliau adalah salah seorang periwayat hadith dan begitu juga hadith diriwayatkan daripadanya. Beliau ada disebutkan oleh al-Khazraji dalam Khulasah Tahzib Tahzib al-Kamal fi Asma’ al-Rijal dan disebutkan bahawa beliau meriwayatkan daripada Umar bin Muhammad bin Ali bin Abu Talib.
Adapun ayah kepada datuknya, Uthman bin Syafi‘, maka beliau telah hidup sehingga zaman Khilafah Abu al-‘Abbas al-Saffah. Beliau ada disebutkan dalam kisah Bani al-Muttalib ketika al-Saffah berhasrat untuk mengeluarkan mereka daripada al-khums (الخمس) dan mengkhususkannya hanya untuk Bani Hasyim. Lalu Uthman berdiri mengkritik hal tersebut sehingga ia dikembalikan kepada keadaan seperti zaman Nabi SAW.
Adapun datuk kepada datuknya, Syafi‘ bin al-Sa’ib, yang dinisbahkan kepada Imam al-Syafi‘i, beliau termasuk dalam kalangan sahabat yang kecil dan riwayat sejarah sepakat bahawa beliau pernah berjumpa dengan Nabi SAW ketika masih lagi sedang membesar — yakni kecil. Beliau juga disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim — dalam Manaqibnya — daripada Anas. Anas berkata: “Pada suatu hari, Nabi SAW berada di Fustat, lalu datanglah al-Sa’ib bin ‘Ubaid bersama anaknya, iaitu Syafi‘ bin al-Sa’ib. Nabi melihat ke arahnya, lalu bersabda:
مِنْ سَعادَةِ الْمَرْءِ أَنْ يُشْبِهَ أَباهُ
Maksudnya: “Termasuk dalam kebahagian seseorang adalah dia menyerupai bapanya.”
Riwayat al-Qadha‘i dalam Musnad al-Syihab (299) dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (6012); al-Safarini al-Hanbali dalam Syarh Kitab al-Syihab (438) menilai sanadnya sebagai dha‘if.
Selain itu, Syafi‘ juga mempunyai seorang adik beradik lelaki bernama Abdullah, yang menjadi gabenor di Makkah seperti yang diriwayatkan oleh al-Hakim.
Adapun al-Sa’ib bin ‘Ubaid, bapa kepada al-Syafi‘, beliau dahulunya adalah seorang musyrik dan merupakan pemegang panji Bani Hasyim pada hari peperangan Badar. Namun, beliau kemudiannya ditawan, dan menebus dirinya sendiri serta kemudian memeluk agama Islam. Beliau ditanya, “Kenapa kamu tidak memeluk agama Islam sebelum menebus dirimu?” Beliau menjawab, “Aku tidak mahu makanan orang beriman menjadi tiada kerana diriku.” Begitu juga Rasulullah SAW bersabda tentangnya ketika beliau dan bapa saudaranya al-‘Abbas dibawakan sebagai tawanan: “Ini adalah saudaraku, dan aku adalah saudaranya.”
Dikatakan: Sesungguhnya al-Sa’ib ini adalah seseorang yang menyerupai Nabi SAW dari sudut rupa fizikalnya. Pada suatu masa beliau mengadu sakit. Maka Umar bin al-Khattab R.A berkata, “Mari kita pergi menemui al-Sa’ib bin ‘Ubaid dan menziarahinya, kerana beliau merupakan salah seorang yang membesar bersama suku Quraisy.”
Adapun ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid, beliau telah disebut oleh penulis kitab al-Isabah bahawa al-Zubair bin Bakkar berkata: Ibunya ialah al-Syifa’ binti al-Arqam bin Nadlah. (Lihat al-Imam al-Syafi‘i Faqih Sunnah al-Akbar oleh al-Daqir, hlm. 29-32)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)