Soalan
Apakah kelebihan meninggal dunia di Madinah?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Madinah merupakan salah satu kota suci umat Islam yang dituntut untuk kita menziarahinya. Kota Madinah juga merupakan tempat hijrah Rasulullah SAW, yang merupakan tempat yang dipilih oleh Allah dan Allah yang memerintahkan Rasulullah SAW untuk berhijrah ke Madinah. Madinah juga merupakan kota yang Rasulullah SAW cinta kepadanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهُمَّ حَبِّبْ إلَيْنا المَدِينَةَ كَحُبِّنا مَكَّةَ أوْ أشَدَّ، اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا في صاعِنا وفي مُدِّنا، وصَحِّحْها لَنا، وانْقُلْ حُمّاها إلى الجُحْفَةِ
Maksudnya: Ya Allah Jadikan kami mencintai Madinah, seperti cinta kami kepada Makkah atau lebihkan lagi dari Makkah. Ya Allah berkatilah timbangan dan ukuran kami. Sehatkan lah Madinah untuk kami. Pindahkan lah wabah penyakit ini ke kota Juhfah.”
Riwayat al-Bukhari (1889)
Terdapat nas yang menyebut berkenaan kelebihan serta keutamaan mati di Madinah. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَفْعَلْ فَإِنِّي أَشْهَدُ لِمَنْ مَاتَ بِهَا
Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu mampu meninggal dunia di Kota Madinah hendakah dia melakukannya. Sesungguhnya aku akan bersaksi bagi sesiapa yang meninggal di Kota Madinah.”
Riwayat al-Tirmizi (3917) dan ini merupakan lafaznya, Ibn Majah (3112) dan Ahmad (5437)
Dalam lafaz yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ اسْتَطَاعَ أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ فَلْيَمُتْ بِهَا ؛ فَإِنِّي أَشْفَعُ لِمَنْ يَمُوتُ بِهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafa’at kepada mereka yang mati di sana.”
Riwayat Ahmad (5437) dan ini merupakan lafaznya, al-Tirmizi (3917) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4185)
Maksud “meninggal dunia di Madinah” (أَنْ يَمُوتَ بِالْمَدِينَةِ), ialah tinggal di sana sehingga meninggal dunia di Madinah. Perkataan “meninggallah di sana” (فَلْيَمُتْ بِهَا), bermaksud menetaplah di sana sehingga meninggal dan ia merupakan galakan dan dorongan supaya menetap di sana. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/286).
Imam al-Tibi dinukilkan berkata: “Arahan supaya mati di Madinah itu merupakan perkara di luar kemampuan manusia bahkan ia kembali kepada Allah SWT. Akan tetapi, makna hadis ini adalah perintah untuk tinggal menetap di sana dan tidak meninggalkan kota tersebut. Sehinggalah ia menjadi sebab untuk dapat mati di dalamnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/286).
Saidina Umar RA juga pernah berdoa:
اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَاجْعَلْ مَوْتِي فِي بَلَدِ رَسُولِكَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalan-Mu. Matikanlah aku di negeri Rasul-Mu SAW (Madinah).”
Riwayat al-Bukhari (1890)
Berdasarkan doa Saidina Umar ini, Imam al-Nawawi berpendapat bahawa memohon doa agar dimatikan di tempat yang mulia adalah digalakkan. (Lihat al-Majmu’, 5/118).
Berdasarkan nas di atas, mereka yang meninggal dunia di Madinah mendapat keistimewaan pada hari akhirat kelak dengan syafa’at Rasulullah SAW. Justeru, apa yang berlaku kepada Saidina Umar R.A adalah dua kebaikan:
Pertamanya, kematiannya dalam keadaan syahid dan dengan husnul khatimah kerana dibunuh oleh musuh Allah dan dalam keadaan bersiap sedia menuju kepada-Nya.
Keduanya, Saidina Umar meninggal dunia di Kota Madinah, tempat yang Nabi sabdakan untuk mendapat syafaatnya. Justeru, sesiapa yang mati di Kota Suci Madinah akan mendapat syafa’at daripada Nabi SAW pada hari akhirat kelak.
Walaupun begitu, ramai dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW yang meninggal di luar kota Madinah. Hal ini kerana mereka melihat akan perkara yang lebih penting lagi iaitu, dakwah untuk sebarkan Islam ke serata dunia. Bahkan jika mereka memilih untuk terus menetap di Madinah, maka tidak akan tersebarlah Islam ke serata dunia.
Namun, tidak salah, bahkan digalakkan untuk kita berdoa supaya pengakhiran hidup kita semasa kita berada di tempat yang mulia, khususnya di Kota Madinah yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW. Semoga Allah kurniakan kepada kita mati dalam keadaan husnul khatimah di kota yang dicintai oleh Rasulullah SAW. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh 3 November 2021 M bersamaan 28 Rabi’ al-Awwal 1443 H