Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkan seorang wanita di dalam haid memasuki Raudhah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Raudhah termasuk dalam ruangan solat al-Masjid al-Nabawi, maka hukum memasukinya adalah dilarang bagi wanita yang didatangi haid. Kedudukan Raudhah cukup penting dan utama di dalam Masjid Nabi. Sehingga Nabi SAW bersabda, daripada Abdullah bin Zaid dan Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ، وَمِنْبَرِي عَلَى حَوْضِي
Maksudnya: “Di antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman Syurga. Dan mimbarku terletak di atas kolamku.”
Riwayat al-Bukhari (1195) dan Muslim (1390)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa terdapat beberapa takwilan:
- Ia diibaratkan seperti salah satu taman Syurga yang mana diturunkan rahmat padanya, dan mencapai kebahagiaan dengan berterusannya halaqah-halaqah zikir, terutama semasa zaman Rasulullah SAW.
- Ia hanyalah suatu perumpamaan, adapun yang dimaksudkan adalah menunaikan ibadah di situ akan membawa seseorang itu ke Syurga.
- Atau, yang dimaksudkan adalah zahir hadith tersebut, iaitu kawasan tersebut sememangnya salah satu daripada taman Syurga. Ianya kelak akan dipindahkan ke dalam Syurga.
Beginilah susunan takwilan ulama’ yang disebutkan oleh Ibn Hajar daripada pandangan yang paling kuat sehingga yang paling lemah. (Lihat Fath al-Bari, 4/100)
Imam al-Nawawi pula membawakan 2 pandangan ulama’:
- Kawasan yang disebutkan itu kelak akan dipindahkan ke dalam Syurga.
- Menunaikan amal ibadat di dalam kawasan tersebut akan membawa seseorang itu ke Syurga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/161)
Al-Qadhi ‘Iyadh juga turut menyebutkan 2 pandangan:
- Beribadat di situ melazimkan seseorang itu ke Syurga, dan berdoa serta bersolat di situ menjadikan seseorang itu berhak mendapat pahala.
- Kawasan yang disebutkan itu, secara zatnya akan dipindahkan oleh Allah SWT ke Syurga. (Lihat al-Syifa, 2/92)
Rasulullah SAW bersabda sebagaimana dalam hadith Ummu ‘Atiyyah Nusaibah binti Ka‘b R.Anha:
وَيَعْتَزِلُ الحُيَّضُ المُصَلَّى
Maksudnya: “Wanita-wanita yang sedang haid itu hendaklah menjauhi kawasan solat.”
Riwayat al-Bukhari (324) dan Muslim (890)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Perintah untuk menjauhi musolla difahami oleh jumhur ulama’ sebagai perintah mustahab (disukai untuk dilakukan), kerana musolla bukan termasuk masjid yang memestikan wanita haid dilarang untuk memasukinya. Ibn al-Munir berkata: “Hikmah wanita haid menjauhi musolla adalah, bahawa dengan kehadiran mereka bersama wanita lain yang solat sedangkan mereka tidak solat merupakan fenomena peremehan terhadap solat. Maka disukai bagi mereka untuk menjauhi hal tersebut.” (Lihat Fath al-Bari, 2/544)
Oleh kerana Raudhah di dalam Masjid Nabi SAW, maka hukumnya adalah hukum masjid. Justeru, hadith Nabi SAW, daripada Ummu Salamah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْمَسْجِدَ لَا يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wanita yang sedang dalam keadaan haid.”
Riwayat Abu Dawud (232) dan Ibn Majah (645)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)