Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bagi wanita yang berniat ihram dalam keadaan berjunub?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, haid atau nifas atau berada dalam junub tidak menghalang seseorang itu untuk berniat ihram sama ada bagi haji atau umrah. (Lihat Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, terbitan Tabung Haji, hlm. 43). Begitu juga tidak disyaratkan bagi seseorang yang sedang berihram untuk sentiasa berada dalam keadaan suci melainkan bagi dua perkara, iaitu ketika solat dan tawaf. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:
لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ
Maksudnya: “Tidak diterima solat seseorang itu sekiranya dia dalam keadaan tidak suci (daripada hadas).”
Riwayat Muslim (224) dan al-Tirmizi (1)
Al-Mubarakfuri berkata: Sabda Baginda, ‘لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ’, iaitu dengan dhammah pada huruf Ta’ (ط), dan yang dimaksudkan adalah lebih umum daripada wuduk dan mandi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 1/22)
Begitu juga, hadith Aisyah R.Anha jelas menunjukkan dibolehkan seseorang berniat umrah atau haji walaupun dalam keadaan haid. Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.”
Riwayat al-Bukhari (294)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”