Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita yang haid tidak berniat ihram semasa lalu di miqat, kemudian dia ingin berniat ihram setelah suci dari haid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berihram atau berniat memulakan ibadah umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378)

Manakala berniat ihram di miqat pula termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488). Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَهْلِ الـمَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الـمَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، فَهُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menentukan miqat untuk penduduk Madinah ialah Zulhulaifah (atau dikenali juga sebagai Bir Ali), untuk penduduk Syam ialah Juhfah, untuk penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan untuk penduduk Yaman ialah Yalamlam. Tempat-tempat ini merupakan miqat bagi penduduk negerinya dan orang-orang selain mereka yang berada di tempat itu, bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.”

Riwayat al-Bukhari (1526)

Ibn al-Malak dalam menjelaskan, lafaz (لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ) bermaksud bukannya orang yang langsung tidak ingin melaksanakan haji atau umrah. (Lihat Syarh al-Masabih, 3/241)

Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang itu melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram, sedangkan dia ingin mengerjakan haji atau umrah, maka dikenakan ke atasnya dam. Akan tetapi, dam tersebut boleh tergugur dengan syarat dia kembali semula (dengan segera) ke miqat yang dilepasinya sebelum melakukan apa-apa perbuatan haji atau umrah seperti tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 491)

Berbeza pula hukumnya jika wanita haid itu menuju ke Makkah dan langsung tidak berniat untuk melakukan umrah, misalnya bagi tujuan perniagaan, bermesyuarat, mutawif yang bertanggungjawab menguruskan jemaah dan seumpamanya, maka dia tidak wajib berniat ihram di miqat yang sepatutnya dan tidak dikenakan dam.

Perkara ini turut disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa sekiranya seseorang  ketika di miqat, dia berniat untuk pulang ke negaranya (tanah airnya) atau urusan-urusan yang lain (selain umrah atau haji) dan tidak terlintas langsung pada fikirannya menuju ke Makkah bagi tujuan melakukan manasih (haji atau umrah), maka tidak wajib ke atasnya berniat ihram di miqat. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/123; Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 4/46)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply