Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkan seorang Wanita memakan pil untuk melambatkan proses kedatangan haid untuk menunaikan umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Penggunaan pil pencegah haid bagi jemaah haji wanita adalah dibolehkan dan ia diharuskan, selagi mana tidak membawa kepada kemudaratan kepada penggunanya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

Selain itu, penggunaan pil itu juga dilihat bertepatan dengan seruan agama yang menginginkan kemudahan kepada penganut-penganutnya, di mana ia memberikan kemudahan kepada jemaah-jemaah haji wanita dalam menyempurnakan manasik mereka. Allah SWT berfirman:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Walau bagaimanapun, sekiranya terbukti dari sudut perubatan bahawa penggunaan pil-pil seumpama ini akan memudaratkan penggunanya baik dari sudut jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Hal ini adalah berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Meskipun begitu, jemaah tersebut hendaklah mendapatkan nasihat pakar perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply