Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kisah Imam Abu Hanifah melihat Allah 99 Kali? Ia melihat dalam mimpi.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ ﴿٢٢﴾ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Maksudnya: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya.

Surah al-Qiyamah (22-23)

Allah SWT turut menjelaskan dua jenis keadaan manusia khususnya pada paparan wajah mereka di akhirat, iaitu:

  • Wajah yang berseri-seri (وُجُوهٌ نَاضِرَة) terdiri daripada kalangan orang beriman.
  • Wajah yang muram dan gelap, penuh kekesalan (وُجُوهٌ بَاسِرَة) terdiri daripada kalangan orang kafir.

Kenikmatan yang besar turut diberikan kepada orang yang beriman di akhirat iaitu mereka dapat melihat Allah SWT secara hakiki sebagaimana yang ditafsirkan oleh Fakhr al-Din al-Razi pada ayat 23. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 30/730.)

Menjawab persoalan di atas, dapatan kami menunjukkan, ia dinisbahkan kepada al-’Allamah Najm al-Ghaiti. Beliau menyebut bahawa Imam Abu Hanifah telah berkata: “Aku melihat Allah dalam mimpi 99 kali dan aku berkata pada diriku, kalau aku dapat melihat Allah untuk kali yang ke-100, nescaya aku memohon kepada-Nya untuk bertanya bagaimana cara  menyelamatkan diri bagi manusia pada hari Kiamat? Selepas itu, aku bermimpi kali ke-100 dan aku bertanya. Lantas firman Allah, Siapa yang membaca pada waktu pagi dan petang dengan doa ini:

سُبْحَانَ أَبْدَى الْأَبَدِ،سُبْحَانَ الْوَاحِدِ الْأَحَدِ ، سُبْحَانَ الفَرْدِ الصَّمَدِ ، سُبْحَانَ رَافِعِ السَّمَاءِ بِغَيْرِ عَمَدٍ، سُبْحَانَ مَنْ سَوَى الْأَرْضَ عَلَى مَاءٍ جَمَدٍ ، سُبْحَانَ مَنْ قَسَّمَ الرِّزْقَ وَلَمْ يَنْسَ أَحَدًا، سُبْحَانَ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ صَاحِبَةً وَلَا وَلَدَ ، سُبْحَانَ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَد

Nescaya dia akan selamat daripada azab-Ku.” (Lihat Muqaddimah Nur al-Idhah, hlm. 4)

Justeru, benarkah kisah seperti ini? kami nyatakan beberapa noktah:

Pertamanya, Syariat Islam sifatnya sempurna dan lengkap. Ini berdasarkan Surah al-Maidah ayat 3:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan sebesar-besar nikmat Allah kepada umat ini di mana Allah telah menyempurnakan bagi mereka agama mereka. Justeru, mereka tidak perlu kepada agama selainnya, dan Nabi selain daripada nabi mereka. Dengan sebab inilah, Allah jadikan Rasulullah SAW sebagai khatam para nabi dan dibangkitkannya kepada manusia dan jin. Tidak ada yang halal, kecuali apa yang dihalalkannya dan haram, kecuali apa yang diharamkan-Nya. Tiada agama kecuali apa yang disyariatkan-Nya. Setiap sesuatu telah dikhabarkan dengannya. Maka ia adalah benar tanpa sebarang pendustaan dan kelewatan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/26)

Daripada nas ini, menunjukkan kepada kita semua ibadat, zikir perlulah kepada nas Ilahi atau Hadyun Nabawi yang bersifat tauqifi. Ini kerana sifat Syariat Islamiyyah sempurna dan lengkap yang dibawa oleh Rasulullah SAW tanpa perlu penambahan. Benarlah sabda Nabi SAW kepada Umar sepertimana hadith yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, katanya:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ أَصَابَهُ مِنْ بَعْضِ أَهْلِ الْكُتُبِ، فَقَرَأَهُ على النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَغَضِبَ وَقَالَ: أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً، لَا تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ، أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَعَنِي‏

Maksudnya:  “Suatu hari Umar al-Khattab R.A datang kepada Nabi SAW dengan satu tulisan yang diperoleh daripada ahli kitab, dan beliau membacanya kepada Baginda SAW, lalu Baginda murka dan bersabda: “Adakah kamu masih keliru tentangnya wahai anak al-Khattab? Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, sesungguhnya aku telah datang kepada kalian dengan suatu agama yang suci lagi bersih. Usahlah kamu bertanya kepada ahli kitab tentang satu perkara yang jika diberitahu kepada kamu tentang suatu kebenaran, kamu mendustakannya, atau diberitahu kepadamu tentang suatu kebatilan, kamu membenarkannya. Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya,. Jika sesungguhnya Nabi Musa A.S masih hidup, nescaya tidak dibenarkan baginya melainkan perlu beliau perlu mengikutiku.”

Riwayat Ahmad (15156), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (174) dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (172). Syeikh Syu‘aib al-Arna’uth menyatakan bahawa hadith ini bertaraf hasan. (Lihat  Syarh al-Sunnah, 1/270)

Kami nyatakan di sini bahawa Rasulullah SAW sepertimana dalam hadith Abu Zar R.A pernah bersabda:

مَا بَقِيَ شَيْءٌ يُقَرِّبُ مِنَ الْجَنَّةِ، ويُبَاعِدُ مِنَ النَّارِ، إِلَّا وَقَدْ بُيِّنَ لَكُمْ

Maksudnya: Tidak ada satu pun yang boleh menghampiri kepada Syurga dan menjarakkan daripada neraka kecuali sesungguhnya telah dinyatakan kepada kamu.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir (1647)

Ini menunjukkan, kalaulah zikir ini paling afdhal, sudah tentu telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya dan akan diriwayatkan oleh ahl al-ilmi yang thiqah dalam kitab masing-masing khususnya berkenaan zikir pada waktu pagi dan petang.

Kedua, nisbah hikayat ini daripada Imam Abi Hanifah seperti yang disebut oleh Najm al-Din al-Ghaiti dalam  Rad al-Mukhtar, ( 1/51) tanpa sanad.. Sedangkan jarak antara Imam Abu Hanifah dan al-Ghaiti ratusan tahun. Ini kerana Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada tahun 150 Hijrah sedangkan  Syeikh al-Ghaiti meninggal dunia pada tahun 981 Hijrah.

Justeru, kami katakan perlunya rujukan yang muktamad dan muktabar untuk mengesahkan sesuatu berita atau perkhabaran sama ada benar atau tidak. Kaedah yang selalu kami nyatakan:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ            وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply