Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita berwuduk untuk tawaf semasa haid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, suatu tawaf itu dianggap sah sekiranya memenuhi kesemua syarat-syaratnya. Antaranya syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.  Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya: “Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (960)

Majoriti ulama sama ada ulama terdahulu mahupun terkemudian meletakkan syarat bagi perempuan yang sedang haid dan nifas untuk suci terlebih dahulu sebelum mengerjakan ibadah tawaf. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat al-Qasim bin Muhammad yang mengatakan bahawa beliau mendengar Aisyah R.Anha berkata:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Kami keluar tanpa memikirkan kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami berada di Sarif, aku kedatangan haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: “Kenapa dengan kamu, adakah kamu telah kedatangan haid?” Aku menjawab: “Ya.” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah suatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah kepada wanita-wanita dalam kalangan anak-anak Adam. Lakukan sepertimana orang-orang haji tunaikan, cuma kamu jangan bertawaf di Baitullah.”

Riwayat al-Bukhari (294)

Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, hadith di atas menunjukkan larangan perempuan haid melakukan tawaf sehingga darahnya terhenti dan melakukan mandi wajib. Hal ini kerana suatu larangan dalam melakukan perkara ibadat menunjukkan rosaknya ibadah yang dilakukan itu. Dalam erti kata lain, tawaf dilakukan oleh perempuan haid terbatal. (Lihat Fath al-Bari, 3/505)

Oleh yang demikian wuduk tersebut tidak memberi manfaat baginya untuk melakukan tawaf kerana dia berada dalam keadaan yang berhadas dan tidak memenuhi syarat sah tawaf.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply