Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum untuk wanita yang di dalam ‘iddah untuk menunaikan umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jumhur ulama’ telah berpendapat bahawa wanita yang ber‘iddah kerana suaminya meninggal dunia adalah tidak boleh melaksanakan ibadah haji atau umrah.

Ibn al-Munzir menyebut: “Mereka berbeza pendapat berkenaan perjalanan wanita beriddah untuk melaksanakan haji dan umrah. ‘Umar bin al-Khattab telah melarang hal itu, dan hal tersebut telah diriwayatkan oleh ‘Uthman bin ‘Affan. Mereka yang turut berpendapat sedemikian adalah Ibn al-Musayyib, al-Qasim bin Muhammad, Imam al-Syafi‘i, ashab al-ra’yi, Abu ‘Ubaid, dan dihikayatkannya oleh Abu Ubaid daripada al-Thauri. Imam Malik berkata: “Wanita tersebut dikembalikan (ke daerahnya) jika dia belum memulakan ihramnya.” Abu Bakar berkata:  “Aku berpendapat dengan pendapat yang pertama.” (Lihat al-Isyraf, 5/342)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah ditanya: “Berkenaan seorang wanita yang berazam untuk melaksanakan haji bersama suaminya, lalu kemudian suaminya meninggal dunia pada bulan Sya‘ban. Adakah dia boleh melaksanakan haji?” Lalu beliau menjawab: “Dia tidak boleh melaksanakan musafir untuk ibadah haji selama tempoh ‘iddah disebabkan suaminya yang meninggal dunia, berdasarkan mazhab yang empat.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 29/34)

Hujah mereka adalah berdasarkan hadith daripada Zainab binti Ka’ab bin ‘Ujrah, katanya: “Bahawa al-Furai‘ah binti Malik bin Sinan – beliau ialah saudara perempuan Abu Sa’id al-Khudri – telah mengkhabarkan kepadanya:

أَنَّهَا جَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسْأَلُهُ أَنْ تَرْجِعَ إِلَى أَهْلِهَا فِي بَنِي خُدْرَةَ، فَإِنَّ زَوْجَهَا خَرَجَ فِي طَلَبِ أَعْبُدٍ لَهُ أَبَقُوا، حَتَّى إِذَا كَانُوا بِطَرَفِ الْقَدُومِ لَحِقَهُمْ فَقَتَلُوهُ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَنْ أَرْجِعَ إِلَى أَهْلِي ، فَإِنِّي لَمْ يَتْرُكْنِي فِي مَسْكَنٍ يَمْلِكُهُ، وَلَا نَفَقَةٍ؟، قَالَتْ: فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (نَعَمْ)، قَالَتْ: فَخَرَجْتُ حَتَّى إِذَا كُنْتُ فِي الْحُجْرَةِ، أَوْ فِي الْمَسْجِدِ، دَعَانِي، أَوْ أَمَرَ بِي، فَدُعِيتُ لَهُ، فَقَالَ: (كَيْفَ قُلْتِ ؟)، فَرَدَدْتُ عَلَيْهِ الْقِصَّةَ الَّتِي ذَكَرْتُ مِنْ شَأْنِ زَوْجِي، قَالَتْ: فَقَالَ: (امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ)، قَالَتْ: فَاعْتَدَدْتُ فِيهِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، قَالَتْ: فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ أَرْسَلَ إِلَيَّ فَسَأَلَنِي عَنْ ذَلِكَ، فَأَخْبَرْتُهُ فَاتَّبَعَهُ، وَقَضَى بِهِ

Maksudnya: “Bahawa dia (Furai’ah) telah menghadap Rasulullah SAW untuk bertanya kepada Baginda, bahawa dia akan kembali kepada keluarganya di Bani Khudrah. Dan sesungguhnya suaminya telah keluar darinya untuk mencari para hamba yang ada bersamanya, sehingga mereka hampir tiba, lalu dia menyusul mereka dan mereka pun membunuhnya. Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Apakah aku kembali kepada keluargaku, kerana aku tidak ditinggalkan sebuah rumah miliknya, dan juga tidak ada nafkah?’ Maka Nabi SAW bersabda, ‘Ya.’

Dia berkata: Maka aku pun keluar sehingga aku berada di hujrah, atau di masjid, maka Baginda memanggilku atau menyuruhku, dan aku dipanggil untuk menghadap Baginda, maka Baginda bersabda: ‘Apa yang anda katakan?’ Maka aku pun mengulangi semula cerita yang aku sebutkan berkenaan keadaan suamiku, lalu Baginda bersabda: ‘Berdiamlah di rumahmu sehingga masa ‘iddahmu selesai.’ Dia berkata: ‘Maka aku pun menjalani tempoh ‘iddah selama empat bulan sepuluh hari.’ Dia berkata: ‘Ketika ‘Uthman bin ‘Affan telah mengutus seseorang kepadaku berkait dengan masalah ini, maka aku pun mengkhabarkan kepadanya, dan beliau pun mengikutinya, dan beliau memutuskan dengan hal itu’.”

Riwayat Abu Daud (2300) dan al-Tirmizi (1204), kata beliau: “Ini adalah hadith hasan sahih.”

Menurut mereka, hadith Furai‘ah di atas menunjukkan akan wajibnya berdiam di dalam rumahnya, dan kewajiban ini dibataskan dengan waktu dan berlalu dengan berlalunya waktu tersebut. Adapun haji atau umrah, maka boleh ditangguhkan pada waktu yang akan datang.

Justeru,  seorang yang beri‘iddah hendaklah menjalani iddahnya sehingga tempoh tersebut berakhir, sebelum memutuskan untuk menunaikan umrah ke Tanah Suci, Makkah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply