Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bagi wanita yang menggunakan spray untuk berwuduk di dalam masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara syarat sah tawaf mengelilingi Baitullah adalah berwuduk, maka seseorang yang terbatal wuduknya perlu mencari alternatif untuk memperbaharui wuduk tersebut, dan salah satu cara yang mudah adalah menggunakan spray atau penyembur air.

Penggunaan spray bagi berwuduk berkait rapat dengan sekurang-kurangnya dua syarat sah wuduk, iaitu; air yang disembur itu hendaklah dipastikan air mutlak dan air itu hendaklah mengalir lalu ia diratakan keseluruhan anggota wuduk. Meratakan air semata-mata tanpa mengalirkannya tidak dinamakan sebagai basuhan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/70; Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/95)

Wanita pula perlu memastikan auratnya tidak terdedah dan dilihat oleh lelaki bukan mahram ketika mengambil wuduk di dalam masjid. Maka, sebaiknya wanita yang ingin berwuduk menggunakan spray di masjid, dia perlu mencari kawasan yang terselindung dari pandangan mata lelaki dan kawasan yang mampu memelihara auratnya dari terdedah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply