Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana ibadah Imam Abu Hanifah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
كَانُوا۟ قَلِيلًۭا مِّنَ ٱلَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ ١٧ وَبِٱلْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
Maksudnya: “Di dunia mereka sedikit tidur di waktu malam. Dan selalu memohonkan keampunan di waktu pagi sebelum fajar.”
(Surah al-Zariyat: 17-18)
Ahnaf bin Qais R.A mengatakan: “Tatkala aku menyerahkan jiwa aku kepada kitabullah, aku melihat bahawa orang-orang soleh telah memperolehi keutamaan yang sangat banyak.”
Ada yang mengatakan bahawa huruf ‘مَا’ pada ayat ini adalah “ma nafiyah” (ertinya tidak) sehingga maknanya adalah; “mereka sedikit sekali bangun di waktu malam.” Namun jika dikatakan “ma masdariyah”, maka ertinya; “mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di sebahagian besar malam, mereka tidak tidur.”
Para ulama’ mengatakan: “Kita mesti melakukan Qiamullail, meskipun seperti lamanya mengeluarkan susu kambing.”
Menjawab persoalan di atas, Hafas bin Abdul Rahman berkata: “Abu Hanifah menghafaz al-Quran dan mengkhatamnya pada setiap bulan sebanyak tiga puluh kali. Di samping itu, aku juga pernah bersama Imam Abu Hanifah selama tiga puluh tahun. Beliau khatam al-Quran setiap tiga hari dan bersedekah pada setiap hari.” Sebenarnya, khatam al-Quran sama ada sehari atau tiga hari, dijawab oleh ulama dengan permulaannya setiap hari sekali khatam dan kemudian apabila masyghul dengan usul dan istinbat serta pengajaran, maka beliau mengkhatamnya sebanyak tiga hari sekali.
Beliau juga terkenal dengan kekuatan qiamullail dan puasa sunat di siang hari. Anaknya, Hammad pernah berkata: “Mereka mengira pada tahun yang banyak bagaimana Imam Abu Hanifah solat Subuh dengan menggunakan wuduk Isyak.”
Hal ini turut diakui oleh Muhammad bin al-Hasan. Muridnya, Mis’ar bin Qidam pernah berkata: “Aku lihat dia solat Subuh, kemudian mengajar sehingga waktu Zuhur. Kemudiannya, menyambung sehingga Asar. Seterusnya sampai waktu Maghrib. Seterusnya sampai Isyak dan aku bertanya pada diriku, bila dia selesai ibadat? Apabila orang ramai keluar daripada masjid dan rumahnya berhampiran dengan masjid, dia pulang ke rumahnya dan dia solat hingga ke fajar. Beliau hanya cukup tidur qailulah (sedikit sahaja sebelum Zuhur).”
Sebab Abu Hanifah Tidak Tidur Malam Kerana Beribadat
Al-Qadhi Abu Yusuf berkata: Tatkala aku sedang berjalan bersama Abu Hanifah, tiba-tiba aku terdengar seorang lelaki berkata kepada temannya: “Ini Abu Hanifah. Dia tidak tidur malam kerana beribadat.” Maka lantas jawab Abu Hanifah. “Wallahi. Tidaklah orang bercakap tentangku dengan apa yang tidak aku lakukan.” Justeru, beliau menghidupkan malam untuk solat, munajat dan doa. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/399)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”