Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita yang menangguh untuk menunaikan ibadah umrah kerana mempunyai anak yang masih kecil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum mengerjakan umrah sekali seumur hidup adalah wajib menurut pendapat yang kuat dalam Mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Nawawi menyebutkan, pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafi‘i dengan kesepakatan para ashab (ulama’ mazhab al-Syafi‘i) dan dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam qaul jadid, hukum umrah adalah fardhu. Ini juga merupakan pendapat Umar, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Jabir, Tawus, ‘Ata’, Ibn al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, al- Sya‘bi, Masruq, Abu Burdah bin Abu Musa al-Hadhrami, ‘Abdullah bin Syaddad, al-Thauri, Ahmad, Ishaq, Ibn ‘Ubaid dan Daud. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/7)

Imam al-Bukhari telah meletakkan satu bab di dalam kitab sahihnya, “Bab Kewajipan Umrah dan Keutamaannya.” Kemudian, beliau membawakan pendapat Ibn ‘Umar R.Anhuma yang menyebutkan:

لَيْسَ أَحَدٌ إِلَّا وَعَلَيْهِ حَجَّةٌ وَعُمْرَةٌ

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim itu melainkan berkewajipan untuk melaksanakan haji dan umrah.”

Menjaga anak kecil juga merupakan suatu kewajipan, lebih-lebih lagi sekiranya anak tersebut masih memerlukan kepada susu ibu. Diriwayatkan dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 وَالمَرْأَةَ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya serta anaknya dan dia bertanggungjawab keatas mereka.”

Riwayat al-Bukhari (2554) dan Muslim (1829)

Umrah merupakan hak Allah SWT, manakala menjaga anak kecil pula merupakan hak sesama manusia. Dalam keadaan bertembung dua kewajipan, mengutamakan hak sesama manusia adalah diutamakan berdasarkan satu kaedah:

حُقُوقُ اللهِ مَبْنِيَّةٌ عَلَى الْمُسَامَحَةِ وَحُقُوقُ الْعِبَادِ مَبْنِيَّةٌ عَلَى الْمُشَاحَّةِ

Maksudnya: “Hak Allah itu dibina atas toleransi, dan hak manusia dibina di atas keperluan.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 12/195)

Bahkan hukum menjaga anak lebih didahulukan kewajipannya, kerana ibadah umrah mempunyai keluasan waktu untuk mengerjakannya, manakala kewajipan menjaga anak terhad dalam tempoh tertentu sahaja. ‘Abdullah bin ‘Amru R.A meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَعُولُ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan orang di bawah jagaannya.”

Riwayat al-Hakim (8750)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply