Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan mutiara hikmah daripada Imam Ahmad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Antara mutiara kata dan nasihat Imam Ahmad bin Hanbal yang masyhur dan wajar untuk diambil pengajaran oleh masyarakat Islam ialah:

  • Dunia ini adalah tempat beramal, sementara akhirat pula tempat menerima balasan. Sesiapa yang tidak beramal, ia akan menyesal di sana.
  • “Al-Futuwwah” (kemuliaan) ialah meninggalkan perkara-perkara yang diingini kepada perkara yang ditakuti.
  • Jika kita mencari harta, ia tidak akan datang kepada kita. Yang datang kepada kita ialah perkara yang kita tinggalkan.
  • Bahawa al-Qalansawah (songkok) jatuh dari langit ke atas orang yang tidak ingin kepadanya. (Ertinya, kadang-kadang kelebihan seseorang berlaku dengan kehendak Allah tanpa usaha seseorang).
  • Maha Suci Engkau wahai Tuhanku. Alangkah lupanya hamba-hamba Allah dari perkara di hadapan mereka, orang yang takut berkurangan. Manakala yang berdoa pula sangat lemah.
  • Prinsip keimanan ialah tiga: Penunjuk, yang dijadikan petunjuk dan yang mengambil petunjuk. Penunjuk ialah Allah, yang dibuat petunjuk ialah al-Quran, sementara yang mengambil petunjuk pula ialah orang yang beriman. Sesiapa yang mengkritik satu huruf dari al-Quran, seolah-olah mengkritik Allah, kitab-Nya dan juga Rasulullah SAW.
  • Diam orang yang berilmu adalah insaf dan takwa. Diam orang yang jahil kerana tidak tahu dan bilakah akan datang kebenaran.
  • Manusia berkehendak kepada ilmu, seumpama ia berkehendak kepada roti dan air.
  • Apabila rakan-rakan seseorang itu meninggal, ia akan dihina.
  • Berbahagialah mereka yang banyak menyebut Allah.
  • Jika seseorang bersifat dengan seratus sifat kebaikan dan ia adalah peminum arak, ia membinasakan kesemuanya.
  • Jangan kamu mengambil ilmu daripada orang yang mempelajarinya untuk tujuan keduniaan.
  • Apabila kamu melihat orang yang suka bercakap, hendaklah kamu jauhkan diri daripadanya.
  • Kemenangan ialah mereka yang menang di hari esok (akhirat) kerana di sana seorang tidak akan mendapat pengikut atau rakan.
  • Seseorang itu tidak akan sesuai dan layak hanya sekadar lubang kuburnya. Manakala amalan-amalannya pula akan dihisab dan dihukum sama ada balasan baik atau sebaliknya.

Apabila kamu melihat seseorang memaki atau memburuk-burukkan salah seorang dari sahabat Rasulullah SAW, maka hendaklah kamu menuduhnya dengan kejahatan terhadap agama Islam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply