Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah pekerjaan sebenar Imam Syafi’i?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ketika zaman remajanya, Imam al-Syafi‘i merasakan bahawa beliau telah mendapat ilmu yang mencukupi, hinggakan beliau bercita-cita bekerja untuk mencari nafkah hidup kerana beliau seorang yang miskin.
Cita-cita ini timbul setelah Imam Malik meninggal dunia. Secara kebetulan, seorang gabenor Yaman datang melawat Hijaz. Beberapa orang Quraisy mencadangkan kepada gabenor itu supaya mengambil Imam al-Syafi‘i bekerja di negeri Yaman.[1] Permintaan tersebut telah diterima dan Imam al-Syafi‘i menyewa sebuah bilik untuk dirinya.
Kemudian beliau memegang jawatan qadhi di Najran. Keadilan dan kejujuran Imam al-Syafi‘i diketahui ramai. Ramailah penduduk Najran cuba mengusir kedudukan beliau, tetapi tidak berjaya. Imam al-Syafi‘i berkata: “Apabila gabenor datang kepada mereka, mereka pun bermuka-muka kepada aku, tetapi mereka tidak berjaya.” Pengembaraan beliau dari suatu tempat ke suatu tempat atau suatu negeri ke suatu negeri, juga menolong beliau mempertingkatkan dan mendalami ilmu yang dipelajari.
Beliau pernah mengembara ke negeri Yaman, bandar Kufah, Basrah, Baghdad,[2] Makkah dan Mesir. Antara sebab yang lain pula adalah untuk berbahas dan bertukar-tukar fikiran dengan ulama-ulama, seperti ulama mutakallimin, falsafah, fiqh, hadith dan lain-lain, termasuk juga kajian atau pemerhatian individu.
Itulah antara faktor yang membentuk ilmu pengetahuan Imam al-Syafi‘i yang tinggi dan ia adalah suatu perkara yang penting. Beliau menyebutkan, sesiapa yang mempelajari al-Quran, maka tinggilah ilmunya. Sesiapa yang menulis hadith, maka kuat dan kukuhlah hujahnya. Sesiapa yang berbincang tentang hukum-hukum fiqh, maka ia menjadi bijak. Sesiapa yang mengambil berat tentang adab dan budi pekerti, maka budi bahasanya menjadi lembut dan halus. Sesiapa yang memikirkan tentang ilmu kira-kira (hisab), akalnya akan berkembang dan sesiapa yang tidak menjaga kehormatan dirinya, maka ilmunya tidak berfaedah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota Hujung:
[1] Ketika berada di Yaman, Imam al-Syafi‘i juga sempat belajar kepada para ulama yang ada di sana seperti Mutarrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf, ‘Amr bin Abi Salamah dan Yahya ibn Hassan. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/14).
[2] Ketika di Baghdad, Imam al-Syafi‘i berkesempatan untuk berkenalan dengan tokoh ulama Hanafiyyah, Muhammad bin Hasan al-Syaibani yang ketika itu menjadi qadhi khalifah ‘Abbasiyyah. Beliau memanfaatkan kesempatan tersebut untuk mempelajari selok belok ilmu fiqh yang berkembang dalam aliran Ahli al-Ra’yi. Imam al-Syafi‘i mengakui telah memperoleh sebeban unta ilmu daripada Muhammad bin Hasan. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/14).