Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana permulaan Imam Abu Hanifah menuntut ilmu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)

Menjawab persoalan di atas, pada permulaannya, Imam Abu Hanifah adalah seorang peniaga. Selepas itu, beliau menceburkan diri dalam bidang ilmu pengetahuan. Beliau beralih arah daripada bidang perniagaan kerana terkesan dengan nasihat daripada al-Sya‘bi yang bertanya: “Ke manakah kamu berulang alik?” Abu Hanifah menjawab: “Aku berulang-alik untuk ke pasar.” Al-Sya‘bi berkata: “Siapakah guru yang kamu lazimi.” Abu Hanifah menjawab: “Aku amat sedikit melazimi mereka.” Al-Sya‘bi berkata: “Sewajarnya engkau mencari majlis ilmu dan para ulama kerana sesungguhnya aku melihat keupayaan kamu.” Yang demikian merupakan permulaan yang besar dalam kehidupan Imam Abu Hanifah.- semoga Allah merahmati mereka berdua-

Beliau seorang yang beramanah dan pernah menjadi wakil sebuah syarikat perniagaan ketika itu. Beliau berjaya merapatkan jurang di antara ilmu pengetahuan dan perniagaan.

Imam Abu Hanifah Menuntut Ilmu

Abu Hanifah tinggal di bandar Kufah di Iraq. Bandar ini masyhur kerana banyak menerima perubahan dan perkembangan di dalam ilmu pengetahuan. Di samping itu, Kufah pada ketika itu juga merupakan antara tempat bagi fuqaha’. Imam Abu Hanifah menyatakan: “Aku berada dalam lingkungan ilmu dan fiqh, maka aku mengambil manfaat daripada mereka dengan melazimi para ulama’ mereka.” (Lihat Abu Hanifah: Hayatuhu wa ‘Asruhu – Ara’uhu wa Fiqhuhu oleh Syeikh Muhammad Abu Zuhrah)

Beliau seorang yang bijak dan gemar kepada ilmu pengetahuan. Apabila mula menceburkan diri dalam bidang ilmu pengetahuan, beliau mempelajari sastera bahasa Arab. Oleh kerana ilmu bahasa tidak banyak menggunakan akal fikiran, beliau beralih kepada ilmu fiqh kerana beliau berminat kepada ilmu yang lebih banyak menggunakan akal fikiran.

Abu Hanifah pernah membandingkan antara seorang yang dikatakan faqih dan sebaliknya. Perbandingan di antara mereka adalah umpama tugas dan peranan seseorang doktor berbanding seseorang ahli farmasi.

Dalam sebuah kisah, al-A‘masy pernah bertanya kepada Abu Hanifah: “Wahai al-Nu‘man (Abu Hanifah), apa pendapat kamu mengenai perkara ini?” Beliau menjawab: “Begini dan begini.” Al-A‘masy pun bertanya lagi: “Pada perkara ini pula?” Maka beliau menjawab: “Begini dan begini.” Al-A‘masy berkata: “Dari mana kamu katakan sebegitu?” Beliau menjawab: “Kamu sendirilah yang meriwayatkannya daripada seseorang (fulan).” Maka berkata al-A‘masy:

يَا مَعْشَرَ الْفُقَهَاءِ أَنْتُمُ الْأَطِبَّاءُ وَنَحْنُ الصَّيَادِلَةُ

Maksudnya: “Wahai para fuqaha’, kamu semua seolah-olah doktor, dan kami (yang hanya menghafal hadith) adalah sebagai ahli farmasi[1].”(Lihat al-Kamil fi al-Du’afa’ al-Rijal oleh Ibn ‘Uday al-Jurjani, 8/238; al-Tabaqat al-Saniyyah fi Tarajum al-Hanafiyyah, 1/120)

Di samping mempelajari ilmu fiqh, beliau juga berpeluang mempelajari ilmu-ilmu yang lain, seperti tauhid dan lain-lain. Di antara buku-buku kajiannya ialah al-Fiqh al-Akbar, al-Rad ala al-Qadariah dan al-Alim wa al-Muta’allim.

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Ini bermakna, sebahagian ahli hadith banyak meriwayatkan hadith dan menghafaz, tetapi ahli fiqh mampu mengistinbatkan hukum berdasarkan hadith-hadith yang dikemukakan oleh ahli hadith. Justeru, kelebihan kefahaman dan istinbat ini selalu digunakan oleh fuqaha’. Tetapi terdapat di sana mereka yang faqih dan juga muhaddis. Antaranya, Imam al-Bukhari yang digelar muhaddis al-fuqaha’ wa faqih al-muhaddisin.

Leave a Reply