Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dikenakan dam kerana rambut gugur sewaktu menyikat rambut sepanjang di dalam ihram?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam hal ini, sekiranya seseorang yang berihram yakin bahawa dengan menyikat rambut, maka rambutnya akan ada yang gugur, maka hukumnya adalah haram perbuatannya menyikat rambut itu. Jika dia menyikatnya dan rambut atau bulunya gugur, maka wajib baginya membayar fidyah. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (11/179) dan al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah (hlm. 119)
Namun, sekiranya dia syak atau tidak pasti sama ada rambut atau bulunya tercabut dengan sebab dia menyikat rambutnya atau gugur dengan sendiri, maka tidak dikenakan fidyah ke atasnya mengikut pendapat yang paling sahih. Ini kerana rambut yang tercabut itu, dia tidak meyakini sebab gugurnya. Oleh itu, ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّة
Maksudnya: “Keadaan asal seseorang itu bebas daripada tanggungan.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/298; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/321; al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 119)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”