Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan kepada kami bagaimana sifat Imam Ahmad dan ibadatnya kepada Allah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pujangga Arab menyebut:
فَتَشَبَّهُوا ﺇنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ فإنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ
“Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,
Kerana mencontohi orang yang mulia itu membawa kemenangan.
Imam Ahmad seorang yang tinggi badannya. Warna kulitnya kemerah-merahan. Gemar memakai inai, memakai pakaian yang kasar, memakai serban dan kurang makan. Beliau tidak berpeluang makan makanan yang lazat, tetapi kebanyakan makanannya mempunyai cuka.
Beliau mengambil wuduk tanpa pertolongan orang lain dan membeli kasut dari kayu atau selainnya. Beliau duduk di atas hamparan yang sudah lama atau sudah usang dan koyak.
Beliau mempunyai daya ingatan yang kuat, memahami apa yang dihafaznya serta tinggi sifat sabarnya. Mempunyai keazaman dan hemah yang tinggi. Tidak riak dan selalu menjauhi gurau senda. Tidak tergopoh-gapah dan sangat merendah diri. Beliau adalah seorang yang sangat bersih, zuhud dan menjaga maruah, lebih-lebih lagi dari perkara yang haram.
Beliau banyak beribadat pada waktu malam dan dikatakan beliau sembahyang sebanyak 300 rakaat pada setiap hari dan malam. Manakala ketika uzur, beliau hanya mampu sembahyang 150 rakaat. Beliau juga rajin membaca al-Quran dan khatam seminggu sekali.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”