Soalan
Adakah jatuh talak ketika bergurau? Hal ini kerana kawan saya bertanya dan bergurau, “kamu menghantar anak daripada isteri yang mana?”. Sedangkan saya hanya mempunyai seorang isteri dan saya memahami bahawa kawan hendak bergurau. Lalu saya pun membalas gurauan dengan mengatakan: “anak daripada isteri muda, sebab isteri tua, aku dah cerai”. Apakah jatuh talak kepada isteri saya?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami. [1]
Firman Allah SWT :
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ
Maksudnya:” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah :229)
Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)
Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.
Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji,4/123)
Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syara’ jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Ini berdasarkan sebuah hadith:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”
Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)
Hadith di atas jelas menunjukkan larangan untuk bermain-main dalam tiga perkara di atas. Hal ini kerana gurauan di dalam tiga perkara itu akan dihukumkan sebagai maksud asal perkataan tersebut tanpa mengira niat untuk bergurau. Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu sedar dan tahu batas-batas gurauan di dalam Islam. Islam tidak sesekali melarang gurauan secara umumnya, namun setiap sesuatu itu perlu ada hadnya, dan tidak semua perkara boleh untuk kita bergurau-senda.
Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan sekiranya gurauan dibuat oleh suami dan isteri sudah baligh, berakal dan tidak dipaksa mana-mana pihak, maka lafaz talak yang dilafazkan adalah dikira, dan jatuh talak mengikut apa yang disebutkan. (Lihat al-Muktamad, 4/ 157)
Al-qasd adalah rukun yang ketiga dalam bab talak. Ia berkait rapat dengan sighah atau bagaimana di lafazkan talak itu. Ini seperti mana disebutkan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili:
يُشْتَرَطُ بِالاتِّفَاقِ القَصْدُ فِي الطَّلَاقِ: وَهُوَ إِرَادَةُ التَّلَفُّظِ بِهِ، وَلَا يُشْتَرَطُ فِي هَذَا الرُّكْنِ إِلَّا تَحْقِيْقَ المُرَادِ بِهِ، فَلَا يَقَعُ طَلَاقُ فَقِيهٍ يُكَرِّرُهُ ، وَلَا طَلَاقُ حَاكٍ عَنْ نَفْسِهِ أَو غَيْرِهِ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَقْصِدْ مَعْنَاهُ، بَلْ قَصَدَ التَّعْلِيْمَ والحِكَايَةَ، ولَا طَلَاقُ أَعْجَمِيٍّ لُقِّنَ لَفْظَ الطَّلَاقِ بِلَا فَهْمٍ مِنْهُ لِمَعْنَاهُ. وَلا يَقَعُ طَلَاقُ مَرَّ بِلِسَانِ نَائِـمٍ أَوْ مَنْ زَالَ عَقْلُهُ بِسَبَبٍ لَمْ يَعْصِ بِهِ، وَيَلْغُو
Maksudnya: Disyaratkan secara ittifaq (persepakatan para ulama’) al-qasd (niat) dalam talak. Iaitu keinginan untuk melafazkan dengan (perkataan) talak (dengan makna asal iaitu penceraian). Tidaklah disyaratkan al-qasd sebagai rukun melainkan untuk menentukan makna dari lafaz yang disebutkan itu. Tidak jatuh talak apabila seorang faqih (orang yang alim dalam fiqh) mengulang-ulang perkataan talak, dan tidak jatuh talak kepada orang yang menceritakan ke atas dirinya (kerana menceritakan semula lafaz talak orang lain) kerana tidak memaksudkan dari lafaz talak itu, pada makna asalnya, bahkan (faqih) tujuan menyebut lafaz talak untuk pengajaran, dan (orang yang menceritakan) tujuannya adalah untuk menceritakan. Tidak jatuh talak ke atas orang ajam (bukan bangsa arab) yang menyebut lafaz talak tanpa memahami maknanya. Tidak jatuh talak jika disebutkan orang yang sedang tidur, atau orang yang hilang akal (dengan sendiri) tanpa melakukan maksiat, maka (perkataan talak itu) dianggap sia-sia( tidak dijatuhkan hukum). (Lihat al-Fiqh al-Islami wadillahtuhu, 9/6886)
Oleh itu, tujuan seseorang ketika menyebut lafaz-lafaz yang secara umumnya digunakan dalam menjatuhkan talak, perlu ditanya terlebih dahulu, apakah tujuan lafaz itu seperti mana yang disebutkan di atas. Sekiranya, sedang berhikayat atau bercerita dengan menyebutkan lafaz yang sama, maka tidaklah jatuh talak sekiranya dia tidak bertujuan untuk menjatuhkan talak.
Rukun yang perlu untuk dibahaskan seterusnya di dalam bab talak ialah wilayah dan al-mahal. Wilayah bermaksud kuasa untuk menjatuhkan talak manakala al-mahal bermaksud posisi atau kepada siapa talak boleh dijatuhkan.
Hanya orang yang berkuasa, iaitu orang yang berhak sahaja boleh menjatuhkan talak kepada orang yang berada di bawah kuasa talaknya. Tidak akan jatuh talak, sekiranya seseorang lelaki melafazkan talak kepada wanita yang tiada ikatan perkahwinan yang sah dengannya. Hal ini dijelaskan bedasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لاَ طَلاَقَ قَبْلَ النِّكَاحِ
Maksudnya: Tiada talak sebelum pernikahan.
Riwayat Ibn Majah (2049)
Maka, sebarang lafaz talak yang dibuat sebelum akad nikah yang sah tidak akan dikira. Meskipun lelaki tersebut akhirnya bernikah dengan wanita tersebut, tetap tidak akan dikira, dan lafaz tersebut tidak mempunyai nilai.
Kemudian, dalam perbincangan al-mahal, hendaklah jelas kepada siapa talak itu hendak dilafazkan. Lafaz tidak akan jatuh melainkan ke atas wanita yang telahpun menjadi isteri.
Imam al-Mawardi menyatakan bahawa Talak tidak jatuh melainkan datang daripada seorang suami dan tidak jatuh melainkan disebutkan ke atas isteri. (Lihat al-Hawi, 12/ 384)
Kesimpulan
Berdasarkan persoalan di atas, kami melihat dalam kes ini secara hukumnya tidak membawa kepada jatuhnya talak. Ini berdasarkan hujah yang kami sebutkan di atas. Lelaki yang bergurau ini, secara realiti tidak mempunyai dua isteri. Maka, tidak wujud istilah isteri tua atau isteri muda. Apabila tidak wujud isteri yang kedua , maka lafaz talak ke atas isteri pertama itu dianggap sebagai lagha atau sia-sia dimana perkataan yang diucap tidak mempunyai nilai.
Perkahwinan ini kami iktibarkan sebagai kekal tanpa perlu dirujuk kembali, kerana kaedah fiqh menyebutkan:
الأَصْلُ بَقَاء مَاكَان عَلَى مَا كَان
Maksudnya: Asal (kepada sesuatu perkara) kekal seperti mana hukum asal.
Namun begitu, sekiranya timbul perselisihan dalam masalah ini, kami cadangkan untuk dirujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan tentang status lafaz talak. Kami juga mengingatkan kepada semua umat Islam, agar menjauhkan gurau-senda dalam hal yang berkaitan dengan perkahwinan dan talak. Sedarlah bahawa jika seorang wali bergurau menikahkan anak perempuanya dengan lelaki lain, dan cukup syarat-syarat lain, maka pernikahan itu sah walaupun bergurau. Begitu juga, dengan penceraian, lafaz cerai yang dilafaz ketika bergurau itu tetap akan dikira. Bertakwalah kepada Allah SWT dengan menjauhi gurauan dalam hal sebegini.
Semoga Allah SWT memberikan kita hidayah dan taufiq dalam memahami agama-Nya.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H
The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.
[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=talak