Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada orang menyatakan, jin takut kepada terompah Imam Ahmad. Benarkah kisah tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: “Sebenarnya yang bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’)”.

(Surah Fathir: 28)

Al-Maraghi berkata: “Ini kerana orang yang mengetahui perkara tersebut tentu akan yakin adanya hukuman yang bakal ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah. Atas dasar itu, dia berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/332)

Menjawab persoalan di atas, di dalam Tabaqat al-Hanabilah (1/233) oleh al-Qadhi Abi al-Husin bin Abi Ya’la al-Farra’ menceritakan:

Suatu hari, Imam Ahmad bin Hanbal sedang berada dalam majlis pengajarannya di masjid. Kemudian datang seorang wakil daripada Khalifah al-Mutawakil dan memberitahunya bahawa seorang hamba perempuan milik Khalifah telah dirasuk oleh jin. Khalifah meminta agar Imam Ahmad mendoakannya supaya sihat.

Maka Imam Ahmad pun memberikan satu terompah yang diperbuat daripada kayu yang dipakainya untuk berwudhuk lalu diberikan kepada wakil khalifah tadi dan berkata, “Pergilah ke istana Amirul Mukminin dan duduklah di samping kepala hamba sahaya itu, lalu katakan kepada jin yang ada di dalam tubuhnya: “Ahmad berkata kepadamu: Mana yang kamu pilih, keluar dari tubuh hamba perempuan ini atau dipukul 70 kali dengan terompah ini?”

Setelah itu lelaki tersebut pergi bertemunya dan menyebut kepadanya sepertimana yang dikatakan Imam Ahmad kepadanya. Lantas jin itu berkata kepadanya – melalui percakapan hamba perempuan itu – : “Saya akan dengar dan taat. Dan seandainya Imam Ahmad menyuruh kami (bangsa jin) untuk tidak tinggal di Iraq pasti kami akan taatinya. Sesungguhnya beliau ialah orang yang taat kepada Allah. Sesiapa sahaja yang taat kepada Allah SWT pasti setiap sesuatu akan taat kepadanya.”

Lalu jin tersebut pun keluar dari tubuh hamba sahaya itu. Hamba perempuan tersebut akhirnya sembuh dan dikurniakan anak yang ramai.

Namun setelah Imam Ahmad wafat, jin kembali merasuknya. Maka al-Mutawakkil mengadu hal tersebut kepada rakan Imam Ahmad iaitu Abu Bakar al-Marwazi. Dia menceritakan mengenai kejadian sebelumnya kepada beliau. Setelah itu al-Marwazi mengambil selipar (yang pernah diberikan Imam Ahmad) lalu pergi bertemu hamba sahaya perempuan tersebut. Namun begitu Jin Ifrit – melalui percakapan perempuan itu berkata, “Saya tidak akan keluar dari tubuh perempuan ini, saya tidak akan mematuhi dan saya tidak akan menerimamu. Ahmad bin Hanbal ialah orang yang sentiasa taat kepada Allah, dia menyuruh kami untuk mentaatinya.” (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/233; Ahkam al-Marjan fi Ahkam al-Jan oleh al-Syibli, hlm. 135-136; Luqth al-Marjan fi Ahkam al-Jan oleh al-Suyuti, hlm. 108-109)

Kisah ini menggambarkan bagaimana seorang yang dekat dengan Allah SWT akan dapat mampu menundukkan musuh-musuh yang mengganggu anak Adam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya:Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply