Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah tips untuk wanita hamil sebelum menunaikan umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wanita hamil tidak mempunyai kekuatan tubuh badan yang sama seperti orang lain, maka mereka memerlukan persediaan yang lebih rapi bagi memastikan kesihatan diri dan anak dalam kandungan kekal terjaga.

Sebaiknya, wanita hamil itu mendapatkan nasihat dari doktor perubatan dan mereka yang berkepakaran dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G). Hal ini kerana, perjalanan mengerjakan umrah ini sangat menguji kekuatan fizikal seseorang, sementelahan lagi keadaan di kawasan tawaf dan saie yang kebiasaannya sesak dengan manusia dari segenap pelosok dunia.

Sekiranya doktor mengesahkan bahawa wanita itu boleh untuk mengerjakan umrah, maka hendaklah wanita itu mempersiapkan kesemua ubat-ubatan dan keperluan mencukupi selama berada di tanah suci.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply