Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah saya membuat upah umrah untuk keluarga dan kenalan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Ayat di atas bermaksud lakukanlah kedua-duanya dengan sempurna. Dalam ayat di atas, digunakan kalimat perintah pada haji dan umrah yang menunjukkan kepada kefardhuan kedua-duanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/315)

Secara umumnya, para fuqaha berpendapat bahawa dibolehkan untuk melakukan badal umrah ke atas orang lain kerana ibadah umrah adalah seperti mana ibadah haji, justeru dibolehkan mewakilkannya kepada orang lain. Begitu juga, hal ini kerana ibadah umrah dan haji merupakan ibadah yang berbentuk fizikal dan harta.

Adapun dari segi perinciannya pula, ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa dibolehkan melakukan ibadah umrah ke atas orang lain dengan perintahnya kerana keharusan untuk melakukannya itu adalah dengan cara perwakilan dan perwakilan itu tidak sabit melainkan dengan perintah. Justeru, sekiranya seseorang memerintahkan supaya dilakukan umrah bagi pihaknya, lalu orang yang diminta itu berniat ihram dan melakukan umrah, maka perkara tersebut dibolehkan kerana dia melakukan apa yang diperintahkan. Manakala ulama mazhab Maliki pula berpendapat bahawa badal umrah hukumnya adalah makruh tetapi sekiranya dilakukan ia adalah sah.

Selain itu, ulama mazhab Syafi‘i pula menyatakan bahawa dibolehkan untuk melakukan badal umrah bagi pihak seseorang yang sudah meninggal dunia atau yang tidak mampu menunaikannya sendiri — kerana adanya suatu keuzuran. Oleh itu, sesiapa yang meninggal dunia dan masih lagi menanggung umrah wajib — kerana dia semasa hidup berkemampuan untuk melakukannya tetapi tidak ditunaikan sehinggalah dia meninggal dunia — maka diwajibkan untuk ditunaikan umrah bagi pihaknya dengan menggunakan harta yang ditinggalkan olehnya. Jika seseorang yang asing melakukan umrah bagi pihaknya, maka perkara tersebut dibolehkan sekalipun tanpa izinnya sebagaimana seseorang yang melunaskan hutang bagi pihaknya tanpa keizinannya. Begitu juga dibolehkan untuk melakukan badal umrah sunat bagi pihak yang tidak mampu menunaikannya dengan sendiri — kerana suatu keuzuran — sebagaimana dibolehkan badal umrah bagi pihak yang sudah meninggal dunia.

Manakala ulama mazhab hanbali berpendapat bahawa tidak boleh melakukan badal umrah bagi pihak yang masih hidup tanpa keizinan daripadanya kerana ia adalah ibadah yang dibenarkan dengan cara perwakilan. Oleh itu, tidak boleh diwakilkan seseorang itu melainkan dengan izinnya. Adapun ke atas pihak yang sudah meninggal dunia, maka dibolehkan untuk melakukan badal umrah bagi pihaknya tanpa keizinannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/328-329.)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply