Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat kisah penjual roti yang bercita-cita ingin bertemu Imam Ahmad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Menjawab persoalan di atas, terdapat sebuah kisah yang masyhur di laman-laman sesawang tentang Imam Ahmad yang bertemu dengan seorang penjual roti. Penulis pernah dikemukakan persoalan berkenaan kesahihan kisah ini, dan menjawabnya di laman Maktabah al-Bakri.

Dikisahkan pada suatu malam, Imam Ahmad ibn Hanbal ingin menghabiskan malamnya di sebuah masjid, akan tetapi pengawal keselamatan masjid tersebut melarang beliau berbuat demikian. Imam Ahmad tetap mencuba, tetapi tidak berjaya juga kerana tetap dilarang.

Imam Ahmad berkata kepada pengawal tersebut: “Aku akan tidur di mana terletaknya dua kakiku ini.” Dan beliau benar-benar tidur di tempat beliau berdiri. Lalu, pengawal itu bangun dan cuba menjauhkan Imam Ahmad dari kawasan masjid, sedangkan ketika itu Imam Ahmad seorang tua yang berwibawa, terpancar dari raut wajahnya kebaikan dan ketaqwaan. Seorang penjual roti terlihat perbalahan yang berlaku antara Imam Ahmad dan pengawal itu, lalu menawarkan kepada Imam Ahmad tempat untuk bermalam.

Imam Ahmad pun pergi bersama penjual roti tersebut dan bermalam di kediamannya. Pada malam itu, penjual roti itu menyambung kerjanya, mengambil doh untuk dibakar menjadi roti. Ketika itu, Imam Ahmad terdengar penjual roti itu sedang beristighfar secara berterusan dalam tempoh masa yang lama sambil melakukan kerjanya. Imam Ahmad berasa takjub dengan lelaki itu.

Keesokan harinya, beliau bertanya kepada penjual roti tersebut tentang istighfar yang beliau dengar, lalu si penjual roti itu menjawab: “Sejak sekian lamanya, dia tidak akan menguli doh roti melainkan dia akan beristighfar sama.”

Imam Ahmad bertanya lagi: “Adakah kamu mendapati sebarang kesan dari istighfar kamu itu?” Beliau bertanya soalan itu, dalam keadaan beliau sendiri mengetahui akan kesan-kesan beristighfar, kelebihannya, dan faedahnya yang banyak.

Penjual roti itu menjawab: “Ya ada kesannya! Demi Allah, tidak pernah aku berdoa melainkan dikabulkan, kecuali satu doa sahaja tidak dikabulkan.”

Imam Ahmad: “Apakah doa itu?”

Penjual roti: “Bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal.”

Imam Ahmad: “Akulah Ahmad bin Hanbal! Demi Allah, aku dibawakan kepadamu.”

Dari sudut kesahihan kisah ini, penulis tidak menjumpai kisah Imam Ahmad bersama penjual roti ini sebagaimana yang diceritakan di atas di dalam Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, mahupun daripada mana-mana kitab muktabar yang lain. Malah, Prof. Dr. Umar bin ‘Abdullah al-Muqbil turut menyatakan bahawa kisah ini tidak diketahui asalnya daripada mana-mana kitab al-Tarajim dan al-Manaqib, khususnya kitab-kitab yang menceritakan berkenaan biografi Imam Ahmad bin Hanbal seperti Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, Tabaqat al-Hanabilah, Siyar A‘lam al-Nubala’, Tarikh Baghdad, al-Bidayah wa al-Nihayah dan lain-lain kitab yang ada menceritakan mengenai kehidupan Imam Ahmad.

Meskipun begitu, kisah ini pastinya membawakan ibrah yang amat penting buat seluruh umat Islam tentang kepentingan beristighfar, sebagaimana yang warid dalam firman Allah SWT:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ ۖ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.”

(Surah Hud: 3)

Oleh itu, penulis membawakan kisah ini sebagai galakan untuk kita sama-sama memperbanyakkan istighfar dan seterusnya menjadikannya sebagai zikir yang kita lazimi dalam kehidupan seharian kita, lalu menjadikan kita termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang banyak beristighfar.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/952-imam-ahmad-bertemu-dengan-penjual-roti/#_ftn3. Diakses pada 7 Februari 2024.

Leave a Reply