Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum keluar angin Ketika tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab Baginda SAW:

لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: “Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.”

Riwayat al-Bukhari (137)

Jika wuduk seseorang terbatal ketika sedang melakukan tawaf, maka tawafnya dianggap batal menurut jumhur ulama, sebagaimana jika seseorang melakukan perkara yang membatalkan semasa solat, maka solatnya dianggap batal secara sepakat. Oleh itu, dia perlu keluar dari tawaf, berwuduk, dan kemudian mengulangi tawaf dari awal.

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya menanyatakan bahawa: Para ahli fiqh berbeza pendapat mengenai hukum bagi mereka yang berhadas semasa tawaf. Sebagai keluar dari perbezaan ini, bagi sesiapa yang berhadas  semasa tawaf, dia perlu berwuduk semula, kemudian kembali dan meneruskan tawafnya dari awal. Jika ini sukar baginya, dia dibenarkan bertaklid kepada ulama yang membenarkan hal itu dari kalangan fuqaha. Jika dia menyelesaikan tawafnya tanpa bersuci dan kemudian kembali ke negerinya, tawafnya dianggap sah menurut mazhab Hanafi, dan dia perlu menyembelih seekor kambing di dalam Haram.[1]

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/13968/% Diakses pada 22 Mac 2024

Leave a Reply