Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah hanya berselawat dan tidak berdoa semasa melakukan tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tidak menjadi satu kesalahan bagi yang melakukan tawaf untuk berselawat sahaja kerana bacaan di dalam tawaf tidak diwajibkan pada bacaan-bacaan tertentu. Namun, membaca doa-doa yang ma’thur atau memaca adalah lebih afdhal ketika tawaf. Sebagai contohnya  sunat pada permulaan tawaf kita berdoa dengan menyebut:

بِسْمِ اللَّهِ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ إِيمَانًا بِكَ، وَتَصْدِيقًا بِكِتَابِكَ، وَوَفَاءً بِعَهْدِكَ، وَاتِّبَاعًا لِسُنَّةِ نَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Sedangkan antara dua rukun Yamani dan Hajarul Aswad pula, sunat membaca doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Seseorang itu boleh berdoa dalam semua tawafnya mengikut kehendaknya. Membaca al-Quran semasa tawaf adalah lebih afdhal daripada doa  yang tidak ma’thur. Adapun doa yang ma’thur, maka ia lebih afdhal mengikut pendapat yang sahih. Manakala pendapat yang kedua menyebut bahawa membaca al-Quran tetap lebih afdhal. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/366-267).

Leave a Reply