Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Abu Hanifah ada menasihatkan muridnya supaya meninggalkan beberapa perbuatan yang tidak baik atau tidak sesuai?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati  kepada kesabaran.”

(Surah al-Asr: 3)

Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarangNya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590. Lihat juga Tafsir Ibn Abi Hatim, 7/567)

Perkataan al-Haq atau benar mempunyai tiga takwilan:

  • Iaitu tauhid. Inilah pendapat Yahya bin Sallam.
  • Iaitu al-Quran. Inilah pendapat Qatadah.
  • Iaitu Allah. Inilah pendapat al-Suddi.

Diihtimalkan (diandaikan) pendapat yang keempat iaitu nasihat penggantinya kepada orang yang hampir mati supaya tidak mati kecuali dalam keadaan Islam. (Lihat al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/334)

Al-Baidhawi berkata: Al-Haq di sini adalah dengan makna yang thabit, yang tidak boleh diingkarinya sama ada dalam bentuk iktiqad atau amalan. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil atau Tafsir al-Baidhawi, 5/336)

Menjawab persoalan di atas, antara larangan Imam Abu Hanifah ialah:

Jangan berdiri di tengah-tengah jalan raya, duduklah di masjid-masjid.

Jangan duduk di gudang-gudang perniagaan.

Jangan minum di pasar-pasar, begitu juga di masjid.

Jangan meminum air daripada penjaja air.

Jangan memakai pakaian sutera kerana ianya membawa kepada kelemahan.

Jangan bercakap-cakap dengan isteri lebih daripada biasa semasa di atas katil, melainkan hal yang penting sahaja.

Jangan bergurau senda (bercumbu) melampau-lampau dan hendaklah untuk kepentingan sahaja.

Jangan bercakap dengan perempuan-perempuan lain di hadapan isteri kerana akan menimbulkan  fitnah.

Jangan berkahwin dengan perempuan yang kaya raya, melainkan dengan syarat mereka tidak tinggal bersama keluarganya kerana bapanya akan mendakwa kesemua harta benda adalah hak miliknya.

Jangan mengadakan majlis perkahwinan di rumah pengantin perempuan kerana akan membawa kepada perbelanjaan yang banyak.

Jangan berkahwin dengan perempuan yang mempunyai anak yang ramai, sama ada lelaki atau perempuan kerana ia akan menyimpan dan mencuri harta kamu untuk dibelanjakan kepada anak-anaknya kerana anaknya lebih penting daripada kamu.

Jangan mencampuri dua isteri di dalam sebuah rumah.

Jangan berkahwin sebelum engkau berkuasa memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Belajar dahulu sebelum berkahwin dan mengumpulkan harta. Kemudian, barulah berkahwin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply