Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato ceritakan satu kisah pada zaman Nabi SAW tentang sedekah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menjawab persoalan di atas sebenarnya terlalu banyak kisah-kisah tentang sedekah pada zaman Rasulullah SAW yang boleh kita ambil teladan seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman dan banyak lagi. Justeru, dalam artikel pada kali ini, kami ingin menceritakan satu kisah tentang Saidatina Aisyah R.Anha.
Kisah Sedekah Aisyah R.Anha
Abu Laith al-Samarqandi berkata: Daripada Ummu Zar, beliau telah bertemu Aisyah R.Anha seraya berkata: Abdullah bin Zubair telah mengirim kepada Aisyah R.Anha dengan harta dalam dua uncang besar bernilai 180,000 dirham sedangkan ketika itu Aisyah berpuasa. Lantas beliau membahagikan kepada orang ramai.
Sampai waktu petang, semua duitnya habis dan tidak tinggal walaupun satu dirham. Apabila petang menjelma, dia berkata, “Hai Jariah, segeralah bawa makanan berbukaku.” Khadamnya itu telah membawa roti serta minyak zaitun sahaja. Kemudian, khadamnya bertanya, “Tidakkah kamu mampu apa yang kamu bahagikan pada hari ini untuk kamu beli untuk kami daging dengan senilai sedirham?” Jawab Aisyah R.Anha, “Jangan marah kepadaku. Kenapa kamu tidak ingatkan kepadaku tadi? Kalau kamu ingatkan, nescaya aku akan tunaikan hajatmu.”
Urwah bin al-Zubair berkata, “Aku pernah melihat makcikku, Aisyah R.Anha telah bersedekah sebanyak 70,000 dirham dalam keadaan beliau memakai pakaian purdahnya kepada orang ramai.” (Lihat Tanbih al- Ghafilin, hlm. 212)
Suka kami nyatakan juga, kami telah menulis sebuah buku berkenaan, “Keajaiban Sedekah.” Maka, jika anda berminat untuk mendapatkan penulisan kami, anda boleh tekan di link bawah:
https://pck.onpay.my/order/form/Azamramadhan/188
Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ أَعْمَالَنَا كُلَّهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الْكَرِيمِ، وَتَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah, Engkau jadikanlah kesemua amalan kami ini Ikhlas kerana mengharapkan wajah-Mu yang Mulia, dan terimalah doa kami ini, sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Wallahu a‘lam.