Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya seorang wanita melanggar larangan di dalam ihram, adakah dia akan terlepas dari dosa dengan membayar dam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membayar dam boleh menjadi salah satu asbab wanita itu diberikan keampunan oleh Allah SWT atas perbuatannya melanggar larangan ihram, dengan izin-Nya. Disebutkan dalam riwayat Mu‘az bin Jabal R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 الصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ

Maksudnya: “Sedekah itu dapat menghapuskan kesalahan sebagaimana air yang memadamkan api.”

Riwayat al-Tirmizi (2616), Ibn Majah (3973), al-Nasa’ie (11330), Ahmad (22069)

Sebaiknya, sertakanlah rasa penyesalan serta taubat terhadap kesalahan yang telah kita lakukan, sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani terhadap hamba-Nya yang bertaubat kepada-Nya. Firman Allah SWT:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’.”

(Surah al-Zumar: 53)

Imam al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Ini seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 22/398)

Justeru kami katakan, pelanggaran mahzurat al-ihram adalah haram kecuali berlakunya keuzuran. Al-Imam al-Nawawi telah mensyarahkan secara panjang lebar dalam al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah betapa kehormatan yang ditetapkan hendaklah dipelihara oleh mereka yang mengerjakan ibadat haji atau umrah. Kerana itu, dikenakan dam dan jika sekiranya dengan sebab terlupa atau keuzuran, maka ia hanya membayar dam tetapi tidak berdosa. Walaupun begitu, kami mengharapkan rahmat Allah yang luas, dengan sebab seseorang itu melanggar mahzurat al-ihram dengan sengaja, maka hendaklah dia bertaubat, beristighfar dan membayar dam. Dia hendaklah bertekad tidak melakukan lagi perbuatan tersebut.

Kami akhiri dengann doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Leave a Reply