Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat guru yang menasihatkan kepada Imam Syafi’i?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
Surah al-Taubah (122)
Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)
Antara nasihat dan pujian gurunya kepada beliau, kami nukilkan seperti berikut:
- Muslim bin Khalid al-Zanji, seorang ulama fiqh di Makkah yang juga merupakan guru beliau pernah berkata kepada Imam al-Syafi‘i: “Berfatwalah wahai Abu ‘Abdillah. Telah tiba masanya bagimu untuk berfatwa.” Pada waktu itu beliau berusia 15 tahun. (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/50).
- Imam Malik memuji Imam al-Syafi‘i dengan berkata:
يَا غُلَام، اتَّقِ الله، وَلَا تُطْفِئ هَذَا النُّور الَّذِي أَعْطَاكه الله بِالْمَعَاصي
Maksudnya: “Wahai Anak, bertaqwalah kamu kepada Allah. Janganlah kamu padamkan cahaya ini yang dikurniakan Allah kepadamu dengan maksiat.” (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 51/71)
- Imam al-Syafi‘i menyebut sebuah nasihat daripada Waki‘ Ibn al-Jarrah dalam syairnya:
شَكَوتُ إِلى وَكيعٍ سوءَ حِفظي فَأَرشَدَني إِلى تَركِ المَعاصي
وَأَخبَرَني بِأَنَّ العِلمَ نورٌ وَنورُ اللَهِ لا يُهدى لِعاصي
Aku mengadu kepada Waki‘ tentang buruknya hafazanku
Lantas ia menunjukkan kepadaku supaya meninggalkan maksiat
Dan mengkhabarkan kepadaku bahawa ilmu itu cahaya
Dan cahaya Allah tidak diberi petunjuk kepada ahli maksiat.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”