Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah jemaah wanita akan dikenakan dam jika tidak melakukan tawaf wada‘ kerana dalam keadaan haid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Mazhab al-Syafi‘i, hukum tawaf wada‘ adalah wajib sebagaimana hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّاسُ يَنْصَرِفُونَ فِى كُلِّ وَجْهٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:لاَ يَنْفِرَنَّ أَحَدٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Dahulunya orang ramai beredar mengikut haluan masing-masing (bagi meninggalkan Makkah). Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah sekali-kali seseorang (jemaah) itu meninggalkan Makkah sehinggalah akhir keberadaannya di Baitullah (untuk melaksanakan tawaf wada‘)’.”

Riwayat Muslim (1327)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘. Apabila ditinggalkan, maka dia hendaklah membayar dam. Inilah pendapat yang sahih menurut mazhab kami (Mazhab al-Syafi‘i) dan inilah pendapat majoriti ulama seperti al-Hasan al-Basri, al-Thauri, Hammad, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Abu Thaur. Manakala Malik, Daud dan Ibn al-Munzir menyatakan bahawa hukumnya adalah sunat sahaja dan tidak dikenakan dam bagi sesiapa yang meninggalkannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/78-79)

Walau bagaimanapun perempuan haid diberi keringanan (rukhsah) untuk meninggalkan tawaf wada‘ dan tidak dikenakan sebarang dam. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas R.A, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Manusia diperintahkan agar menjadikan urusan terakhir mereka (ketika melakukan haji atau umrah) dengan tawaf sekeliling kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita yang sedang haid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan kepada kewajipan melakukan tawaf wada‘ kepada selain daripada perempuan yang didatangi haid kerana kewajipan tawaf wada‘ ini telah gugur daripadanya. Perempuan itu juga tidak dikenakan dam kerana meninggalkan tawaf wada‘ ini. Ini merupakan pendapat mazhab al-Syafi‘i, Malik, Abu Hanifah, Ahmad dan ulama keseluruhannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/79)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Leave a Reply