Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah akan dikenakan dam jika termasuk ke dalam Hijr Isma‘il ketika melakukan tawaf?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam keadaan yang terlalu sesak di kawasan tawaf, terdapat beberapa kes di mana jemaah wanita melintasi dalam kawasan Hijr Isma‘il bagi mengelak kesesakan tersebut. Perbuatan ini menyebabkan pusingan tawaf yang dilakukannya itu tidak lengkap, yang menatijahkan ibadah tawafnya itu tidak sah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”
(Surah al-Haj: 29)
Imam Ibn Kathir mengatakan, ayat ini merupakan dalil bagi mereka yang mewajibkan tawaf untuk dikerjakan di luar Hijr Isma‘il, kerana ia adalah sebahagian dari Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim A.S. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW melakukan tawaf di luar Hijr Isma‘il, dan Baginda memberitahu bahawa Hijr Isma‘il itu termasuk dalam kawasan Kaabah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/367)
Imam al-Nawawi menyebutkan, tidak sah tawaf tersebut sehinggalah seseorang itu mengelilingi Baitullah keseluruhannya. Sekiranya dia mengerjakan tawaf di sebalik dinding Hijr Isma‘il, maka perbuatan tersebut tidak dibenarkan kerana ia termasuk dalam kawasan Kaabah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/22)
Ummu al-Mukminin ‘Aisyah R.Anha menceritakan:
سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الجَدْرِ أَمِنَ البَيْتِ هُوَ؟ قَالَ: نَعَمْ. قُلْتُ: فَمَا لَهُمْ لَمْ يُدْخِلُوهُ فِي البَيْتِ؟ قَالَ: إِنَّ قَوْمَكِ قَصَّرَتْ بِهِمُ النَّفَقَةُ. قُلْتُ: فَمَا شَأْنُ بَابِهِ مُرْتَفِعًا؟ قَالَ: فَعَلَ ذَلِكَ قَوْمُكِ، لِيُدْخِلُوا مَنْ شَاءُوا وَيَمْنَعُوا مَنْ شَاءُوا، وَلَوْلاَ أَنَّ قَوْمَكِ حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِالْجَاهِلِيَّةِ، فَأَخَافُ أَنْ تُنْكِرَ قُلُوبُهُمْ، أَنْ أُدْخِلَ الجَدْرَ فِي البَيْتِ، وَأَنْ أُلْصِقَ بَابَهُ بِالأَرْضِ
Maksudnya: “‘Aku bertanya kepada Nabi SAW tentang tembok (al-Hijr), apakah ia termasuk Baitullah (Kaabah) atau tidak?’ Baginda bersabda: ‘Ya.’ Aku berkata: ‘Mengapa mereka tidak memasukkannya ke dalam Baitullah?’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kaummu telah kekurangan biaya.’ Aku bertanya lagi: ‘Mengapa pintunya dibuat tinggi?’ Baginda bersabda: ‘Hal itu sengaja dilakukan oleh kaummu agar mereka dapat memasukkan orang yang disukai dan mencegah orang yang tidak mereka sukai. Jika bukan kerana kaummu masih sangat dekat dengan masa jahiliyah di mana aku khuatir bila hati mereka mengingkari, nescaya aku akan memasukkan tembok (al-Hijr) ke dalam Baitullah dan aku akan menjadikan pintunya rapat ke tanah’.”
Riwayat al-Bukhari (1584) dan Muslim (1333)
Imam al-Nawawi juga mensyarahkan hadith ini seraya berkata, tembok (الجَدْرُ) dengan huruf (جَ) berbaris atas dan huruf (دْ) bertanda sukun, ia merujuk kepada Hijr Isma‘il. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/96)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”