Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, sebab disusun kitab al-Muwatta’ oleh Imam Malik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

(Surah al-Baqarah: 269)

Menjawab persoalan di atas, pada zaman tersebut, Abu Ja‘far al-Mansur memerintahkan para ulama’ Islam pada zaman tersebut untuk menulis dalam pelbagai bidang ilmu, seperti hadith, fiqh dan sirah. (Lihat Tarikh al-Khulafa’, hlm. 194)

Sebahagian ulama menyebut bahawa Imam Malik mengumpul hadith dalam kitab al-Muwatta’ kerana arahan yang diminta oleh Abu Ja‘far al-Mansur. Antara kata beliau: “Buatlah bagi manusia sebuah kitab yang aku boleh menyuruh mereka dan jauhkan daripada ketegasan Ibn ‘Umar dan rukhsah Ibn ‘Abbas serta syaz Ibn Mas‘ud.

“Aku berhasrat untuk menulis beberapa salinan untuk kitab al-Muwatta’, kemudian menyebarkannya setiap salinan ke seluruh negara-negara Islam. Aku akan perintahkan mereka untuk beramal dengannya dan tidak beramal dengan selainnya dari sebarang ilmu bid‘ah. Sesungguhnya aku melihat asal bagi ilmu itu adalah riwayat Ahli Madinah dan amal perbuatan mereka.” (Lihat Tartib al-Madarik, 2/72)

Imam Malik mengambil masa yang begitu lama dalam menggarap dan menghasilkan karya kitab al-Muwatta’ ini. Ini berdasarkan kepada arahan Abu Ja‘far al-Mansur pada tahun 143 Hijrah. Sedangkan Imam Malik menyebarkan kitab al-Muwatta’ beliau kepada orang ramai pada tahun 159 Hijrah, selepas wafatnya khalifah kira-kira setahun.

Imam Malik menyebutkan bahawa beliau mempersembahkan al-Muwatta’ kepada tujuh puluh fuqaha’ dari para ulama’ Madinah, dan semuanya menyetujui dan mengakui kesahihannya. Beliau berkata: “Semua dari mereka menyetujuinya, maka aku berikan nama kitab ini al-Muwatta.” (Lihat Lamhat fi al-Maktabah wa al-Bahs wa al-Masadir, hlm. 178-179)

Justeru, dapat difahami bahawa kitab al-Muwatta’ disusun kira-kira hampir 16 tahun. Walaupun begitu, beliau sentiasa mengkaji, membaiki dan muraja’ah kitabnya sehingga ada yang dibuang sebahagiannya mengikut kajian dan penelitiannya.

Ada para khalifah yang mahu menjadikan kitab al-Muwatta’ sebagai qanun yang umum apabila seluruh hakim perlu merujuk kepada hukum yang terdapat dalam kitab al-Muwatta’. Tetapi Imam Malik sendiri enggan menerima saranan tersebut sambil berkata: “Sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW telah berkhilaf dalam masalah cabang dan mereka bertebaran di seluruh pelosok tempat. Justeru, apa yang ada di sisi mereka adalah benar.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply