Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sikap Imam Ahmad terhadap pemberian dan kurniaan pemerintah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادَوْا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Nas ini menunjukkan kepada kita agar kita saling memberi hadiah kerana ia mengikatkan perasaan kasih sayang serta penghormatan. Ia juga lambang sebuah persahabatan atau ikatan yang baik yang dibina sesama manusia mahupun kaum keluarga. Tidak pelik, Rasulullah SAW banyak memberi hadiah kepada sahabat-sahabatnya, sebagai contoh, nabi SAW memerdekakan semua hamba sahaya baginda SAW dan bersedekah 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda SAW membahagikan senjata-senjata kepada orang Islam. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 232)

Al-’Allamah Amir al-Sana’ni dalam kitabnya al-Tanwir  Syarh Jami’ al-Saghir menyebutkan bahawa: “Ini kerana pemberian hadiah, ia dapat dicapai seperti apa yang dikehendaki oleh Allah SWT daripada kelembutan hati dan salin cenderung antara satu sama lain. (Lihat al-Tanwir  Syarh Jami’ al-Saghir, 1/381)

Dalam hal ini, penulis mengemukakan petikan daripada buku Wasiat Sebelum Dirimu Bergelar Ulama’. Imam Ahmad bin Hanbal amat berpegang teguh dengan prinsip menolak segala kurniaan daripada pemerintah. Bahkan beliau menolak sekalipun ia berhak untuk mendapatkannya. Kisah musafir Imam Ahmad bin Hanbal ke Yaman jelas menggambarkan hal ini.

Hal demikian disedari oleh gurunya Imam al-Syafi‘i yang datang dari Baghdad. Beliau mengingatkan taklifan yang diberikan oleh Khalifah Amin agar mencari seorang qadhi untuk bertugas di Yaman, serta menyedari kesulitan Imam Ahmad bin Hanbal ke Yaman, Imam al-Syafi‘i menawarkan jawatan tersebut kepada Imam Ahmad bin Hanbal, dengan harapan senanglah baginya bertemu dengan ‘Abd al-Razzaq bin Hamam dan mengambil hadith di sana nanti.

Namun Imam Ahmad bin Hanbal menolak tawaran Imam al-Syafie dan dengan penuh penghormatan beliau berkata: “Wahai Abu ‘Abdillah, jika aku mendengar lagi perkara ini daripadamu, nescaya kamu tidak akan melihatku lagi buat kali kedua di sisimu”. Ibn Jauzi menceritakan perkara ini dalam al-Manaqib.

Demikian juga, Kitab Hilyah al-Auliya’ menceritakan pendirian Imam Ahmad ibn Hanbal di saat berhadapan dengan Khalifah al-Makmun tetap utuh. Pada ketika khalifah memberikan harta kepada guru-guru hadith untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar hadith disebabkan kos pembiayaan dari sumber kewangan mereka sangat terhad.

Di celah-celah pelajar yang menerimanya, Imam Ahmad bin Hanbal menolak pemberian tersebut sedangkan beliau sangat memerlukannya. Walaupun demikian, kitab al-Manaqib karangan Ibn al-Jauzi menulis bahawa Imam Ahmad bin Hanbal pernah menerima pemberian yang dikurniakan oleh Khalifah al-Mutawakkil, beliau menerimanya setelah mendapat surat daripada Wazir al-Mutawakkil yang berbunyi:

“Sesungguhnya Amirul Mukminin mengemukakan kepadamu pemberian dan kamu diminta untuk datang menemuinya. Demi Allah SWT, sekiranya kamu enggan menerimanya dan menolak pemberian harta ini, nescaya akan tersebarlah fitnah yang disampaikan oleh mereka yang membenci kamu.”

Demi mengelakkan daripada berlakunya fitnah, beliau menerimanya tetapi beliau tidak menyentuhnya langsung bahkan beliau menyuruh anaknya yang soleh agar mengagihkan harta tersebut kepada anak-anak Muhajirin, Ansar dan mereka yang memerlukannya kerana beliau berpendirian bahawa mereka semua lebih berhak dengan harta orang Muslim (harta kerajaan) daripada dirinya, sedangkan hak mereka mendapatkannya dinafikan.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply