Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara susunan kandungan Muwatta’ dan jumlah hadith?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ
Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”
Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Dalam hadith ini terdapat keterangan yang jelas tentang kelebihan orang-orang yang berilmu di atas semua manusia. Begitu juga keutamaan ilmu agama di atas ilmu-ilmu yang lain.” (Lihat Fath al-Bari, 1/165)
Bukanlah maksud Imam Malik menyusun kitab al-Muwatta’ seperti mana kitab-kitab hadith yang lain selepasnya. Tetapi matlamatnya ialah menyusun fiqh ahli Madinah dan hujah berdasarkan kitab hadith dan sunnah.
Justeru, pembaca mendapati dalam kitab al-Muwatta’, disebut hadith-hadith dalam maudhu’ fiqh yang diijtihadkannya. Kemudian, amalan ahli Madinah yang menjadi ijmak serta beliau melihat mereka yang sempat bersama dengan tabiin, ahli fiqh dan juga pendapat yang masyhur di kota Madinah. Jika tiada, barulah beliau berijtihad mengikut yang diketahui daripada hadith, fatwa dan qadha.
Ulama’ telah khilaf berkenaan dengan bilangan hadith dalam kitab al-Muwatta’ dengan sebab khilaf perawinya. Abu Bakar al-Abhari berkata: Jumlah hadith yang terdapat dalam kitab al-Muwatta’ dan lain-lain seperti berikut:
- Keseluruhannya sebanyak 1720 hadith.
- Musnad daripadanya sebanyak 600 hadith.
- Mursal daripadanya sebanyak 222 hadith.
- Mauquf daripada sahabat sebanyak 613 hadith.
- Pendapat tabiin sebanyak 285 hadith.
Al-Ghafiqi dalam sanad al-Muwatta’ berkata: “Kitab kami ini mengandungi 666 hadith yang sampai kepada sanad al-Muwatta’ Imam Malik.”
Al-Hafiz Abu Said al-Ala’i berkata: Diriwayatkan kitab al-Muwatta’ daripada Malik oleh ramai ulama yang antara riwayat mereka khilaf dari sudut taqdim dan ta’khir, penambahan dan pengurangan dan paling banyak penambahannya ialah riwayat Abu Mus’ab sehingga Ibn Hazm berkata: “Dalam kitab al-Muwatta’ Abi Mus’ab, penambahan atas semua kitab al-Muwatta’ sebanyak 100 hadith.”
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”