Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah status wanita yang uzur memakai lampin pakai buang semasa menunaikan umrah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, bagi seseorang yang telah lanjut usia atau ada keuzuran, dibenarkan untuk memakai cawat yang tidak bersambung atau berjahit. (Lihat Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, Tabung Haji, hlm. 72).
Sebenarnya, isu lampin pakai buang, cawat atau pampers ini sering kali dikaitkan dengan pakaian berjahit dan pakaian berjahit itu pula termasuk dalam larangan ihram bagi golongan lelaki. Imam al-Nawawi memberikan penjelasan berkenaan “pakaian berjahit” dengan menyatakan bahawa diharamkan memakai atau menggunakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau anggota disebabkan oleh ia meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut, sama ada pakaian tersebut (dicantumkan) secara jahitan atau tidak seperti baju, seluar, jubah dan lain-lain.
Adapun, sekiranya tidak ada pada pakaian tersebut makna meliputi (menutupi) sebagaimana yang disebutkan, maka tidak mengapa menggunakannya sekalipun ia berjahit seperti menggunakan baju atau jubah sebagai selimut ketika tidur. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 148-150)
Justeru, golongan lelaki tidak dibolehkan memakai lampin pakai buang yang berjahit atau bersambung, tetapi dibolehkan untuk memakai cawat atau lampin pakai buang yang tidak bersambung atau berjahit. Sekalipun begitu, bagi golongan wanita, memakai pakaian berjahit tidak termasuk dalam perkara yang dilarang bagi mereka dalam ihram. Oleh itu, tidak menjadi masalah bagi golongan wanita untuk memakai lampin pakai buang atau pampers sekalipun ia bersambung atau berjahit.
Seterusnya, tidak disyaratkan bagi seseorang yang sedang berihram untuk sentiasa berada dalam keadaan suci melainkan bagi dua perkara, iaitu ketika solat dan tawaf. Ini jelas sebagaimana dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa bagi syarat sah tawaf hendaklah memenuhi semua syarat sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/140-141).
Justeru, bagi mereka yang memakai lampin atau pampers hendaklah menukar lampin atau pampers yang dipakai (sekiranya ada najis) setiap kali hendak melakukan dua ibadah ini (solat dan tawaf) dan memperbaharui wuduk mereka. Hal ini kerana sekiranya pampers atau lampin itu mempunyai najis, maka ia tidak boleh dibawa untuk mendirikan solat dan tawaf. Tambahan lagi, bagi tawaf, tidak menjadi masalah sekiranya dia mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan sebanyak tujuh pusingan tersebut. Ini kerana tidak disyaratkan pada tawaf muwalah (berturutan) antara bilangan pusingannya kerana menurut mazhab al-Syafi‘i hukumnya hanyalah sunat sekalipun dia melakukannya banyak kali tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, sekiranya dia memisahkannya dalam tempoh yang panjang (lama) juga tidak membatalkan tawafnya yang sebelumnya (bilangan yang telah dilakukan), akan tetapi hukumnya adalah makruh. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/353).
Justeru, tidak ada masalah sekiranya seseorang itu mengambil sedikit masa bagi menyelesaikan ibadah tawafnya disebabkan perlu bersuci (mengambil wuduk) atau ke tandas bagi membersihkan dirinya. Ini adalah sekiranya dia bukan daripada orang yang Da’im al-Hadath iaitu seseorang yang sentiasa berhadas dan hadasnya tidak terputus dalam waktu solat sekadar dalam masa yang membolehkan dia bersuci dan bersolat. Sekiranya dia merupakan seseorang yang Da’im al-Hadath, dia dinasihatkan untuk menerima pakai pandangan muqabil al-Asah demi mengelakkan masyaqqah iaitu tidak perlu bersuci sekiranya najis yang keluar tidak meleleh melampaui alat penahan seperti tuala wanita atau seumpamanya, malah memadai dengan memperbaharui wuduk sahaja. (Lihat Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-32, Kertas Kerja Pertama, hlm. 1).
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”