Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Ahmad menitikberatkan sifat zuhud?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Abbas Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi RA, dia berkata : Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW, lalu beliau berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang jika aku kerjakan, Allah dan manusia akan mencintaiku. Baginda SAW pun bersabda:
ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّك اللهُ، وَازْهَدْ فِيمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّك النَّاسُ
Maksudnya: “Zuhudlah terhadap dunia maka engkau akan dicintai Allah, dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia maka engkau akan dicintai manusia.”
Riwayat Ibn Majah (4102) dan selainnya dengan sanad-sanad yang hasan. Hadis hasan
Khalifah al-Mutawakkil amat berbesar hati dengan Imam Ahmad yang merupakan seorang tokoh hadith yang terkemuka pada zaman beliau, di samping kuat mengharungi ujian serta seksaan yang menimpanya pada pemerintahan khalifah lain sebelum al-Mutawakkil. Ketika mana Khalifah giat berusaha untuk menegakkan sunnah yang benar dan menghapuskan fitnah Khalq al-Quran, Imam Ahmad turut menjadi penyumbang terbesar apabila berjaya mematahkan hujjah Ibn Abi Du’ad, dalam masa yang sama membongkar pendustaan dakwaannya itu.
Pada tahun 235 Hijrah, Khalifah menghantarkan Ya‘qub bin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Qausarah untuk menyampaikan salam kepada Imam Ahmad, dan memberikannya wang berjumlah 10 ribu dirham (anggaran jumlah semasa bersamaan RM 109 500), sebagai penghargaan buat Imam Ahmad. Akan tetapi, Imam Ahmad enggan menerima wang tersebut, lalu Ya‘qub berkata: “Wahai Abu ‘Abdillah, aku khuatir sekiranya engkau menolak pemberian ini, ia akan menyebabkan persengketaan di antara engkau dan Khalifah. Sebaiknya, engkau menerimanya.” Dia meletakkan wang tersebut bersama Imam Ahmad, lalu beredar pergi.
Di penghujung malam, Imam Ahmad memanggil ahli keluarganya dan anak-anak buahnya, seraya berkata: “Aku tidak dapat tidur malam ini kerana wang ini.” Mereka duduk bersama dan menyenaraikan nama-nama mereka yang memerlukan dari Ahli Hadith, masyarakat Baghdad serta Basrah.
Keesokan paginya, mereka terus membahagikan wang pemberian itu kepada 50 hingga 200 orang, sehinggakan tidak berbaki darinya walau satu dirham, bahkan kantung untuk menyimpan wang tersebut juga disedekahkan bersama. Ahli keluarganya tidak mendapat sedikit pun wang tersebut, sedangkan Imam Ahmad juga dari keluarga yang faqir. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/412-414; al-Madkhal al-Mufassal ila Fiqh al-Imam Ahmad, 1/400-401; Tarikh al-Islam, 18/118)
Didikan Imam Ahmad Agar Keluarganya Kekal Zuhud
Berita tentang Imam Ahmad yang membahagikan kesemua wang pemberian itu akhirnya sampai kepada Khalifah al-Mutawakkil. Perkara ini serba sedikit mengguris hatinya kerana Imam Ahmad seakan enggan menerima wang tersebut, maka Khalifah memerintahkan Gabenor Baghdad yang baharu bernama ‘Abdullah bin Ishaq, untuk menjemput Imam Ahmad keluar menghadap Khalifah. Imam Ahmad berkata: “Sesungguhnya aku ini seorang yang tua dan lemah serta sakit.” Khalifah al-Mutawakkil memujuknya dengan menghantarkan surat yang berbunyi: “Sesungguhnya aku suka untuk beramah mesra dengan kehadiranmu, melihatmu, dan memperoleh keberkatan doamu.”
Maka, ‘Abdullah bin Ishaq menghantarkan tenteranya untuk mengiringi Imam Ahmad bertemu Khalifah. Tentera tersebut terpaksa menunggu di hadapan pintu rumah Imam Ahmad selama beberapa hari, sehinggalah Imam Ahmad bersetuju untuk keluar. Beliau dibawa bertemu dengan Khalifah al-Mutawakkil pada tahun 237 Hijrah. Soleh bin Ahmad menceritakan, apabila Imam Ahmad pulang ke rumahnya, pasti akan ada utusan dari Khalifah al-Mutawakkil yang mengajaknya bertemu.
Imam Ahmad diminta untuk mengajar di hadapan Khalifah al-Mutawakkil serta pembesar-pembesarnya, kerana Khalifah ingin mengganti semula masa-masa yang telah terlepas ketika Imam Ahmad diuji dengan mehnah al-Quran itu makhluk, kemudian bertahun-tahun kemudiannya pula beliau mengasingkan diri di dalam rumah sahaja dan tidak keluar walaupun untuk menunaikan solat berjemaah atau solat Jumaat.
Ketika dijemput oleh Khalifah al-Mutawakkil, beliau sekali lagi memberikan kepada keluarga Imam Ahmad wang sebanyak 10 ribu dirham tanpa pengetahuan Imam Ahmad. Keluarganya juga sering menerima pemberian daripada Khalifah. Keluarga Imam Ahmad diberikan aneka makanan pada setiap hari, yang menyamai 120 dirham. Khalifah juga memberikan 4 ribu dirham pada setiap bulan kepada anak-anak Imam Ahmad.
Imam Ahmad khuatir keluarganya akan alpa dengan pemberian ini, maka beliau sering menolak dan memulangkan kembali segala pemberian Khalifah kepada keluarganya ini. Apabila menerima pemberian begini, Imam Ahmad akan memperingatkan keluarganya tentang kehidupan dunia yang sementara, tidak terleka atau alpa dengan pemberian khalifah. Beliau sering berkata kepada Khalifah: “Mereka tidak memerlukan kepada semua ini”, atau berkata: “Mereka ini sudah mencukupi dengan apa yang ada, mereka tidak perlu kepada pemberian ini.” Sehinggakan, Khalifah berkata kepada Imam Ahmad: “Mereka ini anakmu, mengapa kamu buat begini?” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 11/270; al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/415; Tarikh al-Islam, 18/120; al-Madkhal al-Mufassal ila Fiqh al-Imam Ahmad, 1/401)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”