Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah disunatkan untuk diam sejenak selepas membaca surah pilihan dan sebelum mengangkat takbir untuk rukuk? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab soalan yang diajukan, kami nyatakan terlebih dahulu di sini beberapa tempat di dalam solat yang disunatkan padanya untuk diam seketika bagi orang yang sedang mendirikan solat. Menurut Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff dan al-Sayyid Ahmad al-Syatiri bahawa disunatkan bagi orang yang sedang mendirikan solat untuk diam di dalam solat mereka pada enam tempat. Setiap tempat tersebut disunatkan pula untuknya diam dengan kadar tempoh bacaan “Subhanallah”. Tempat-tempat tersebut ialah:

  • Antara takbiratul ihram dan doa iftitah.
  • Antara doa iftitah dan isti’azah.
  • Antara isti’azah dan surah al-Fatihah.
  • Antara akhir ayat di dalam surah al-Fatihah dan lafaz “Amin”.
  • Antara lafaz “Amin” dan bacaan surah (selain al-Fatihah). Disunatkan juga bagi imam untuk memanjangkan diamnya itu di dalam solat jahriyyah bagi memberi ruang kepada makmum menyelesaikan bacaan surah al-Fatihah mereka.
  • Antara surah (selain al-Fatihah) dan rukuk. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 238 dan Nail al-Raja’, hlm. 193-194.)

 

Perkara yang sama turut disebutkan oleh Imam al-Nawawi, namun beliau hanya menyebutkannya sebanyak empat tempat sebagaimana berikut:

  • Selepas mengangkat takbiratul ihram bagi membaca doa iftitah.
  • Selepas selesai membaca surah al-Fatihah iaitu antara akhir ayat di dalamnya dan lafaz “Amin”, dengan kadar diam yang singkat, supaya orang ramai tidak menganggap bahawa lafaz “Amin” itu sebahagian daripada surah al-Fatihah.
  • Selepas lafaz “Amin” dengan kadar diam yang agak lama, supaya makmum ada ruang untuk menyelesaikan bacaan al-Fatihah mereka.
  • Selepas selesai membaca surah (pilihan) dengan kadar diam yang sangat singkat, supaya ia menjadi pemisah antara bacaan surah tadi dan lafaz takbir untuk rukuk. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/395)

Justeru jelaslah bahawa perbuatan diam sejenak selepas selesai membaca surah pilihan dan sebelum mengangkat takbir untuk rukuk adalah disunatkan, dengan kadar tempoh yang sangat singkat atau lebih kurang kadar bacaan “Subhanallah”.

Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadith al-Hasan al-Basri daripada riwayat Samurah bin Jundub R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَتْ لَهُ سَكْتَتَانِ، سَكْتَةٌ حِينَ يَفْتَتِحُ الصَّلَاةَ، وَسَكْتَةٌ إِذَا فَرَغَ مِنَ السُّورَةِ الثَّانِيَةِ، قَبْلَ أَنْ يَرْكَعَ، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِعِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ، فَقَالَ: كَذَبَ سَمُرَةُ، فَكَتَبَ فِي ذَلِكَ إِلَى الْمَدِينَةِ إِلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ فَقَالَ: صَدَقَ سَمُرَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah diam (di dalam solatnya) pada dua tempat, diamnya (yang pertama) ialah ketika awal solat (waktu doa iftitah) dan diamnya (yang kedua) pula ialah selepas selesai membaca surah yang kedua, sebelum Baginda rukuk. Lalu perkara itu diceritakan kepada ‘Imran bin Husain. Beliau menjawab: ‘Samurah telah berbohong.’ Lalu beliau menulis pula surat mengenai perkara itu kepada Ubai bin Ka‘ab di Madinah, ternyata Ubai berkata: ‘Samurah berkata benar.’”

Riwayat Ahmad (20166)

Hikmah perbuatan diam itu adalah supaya ia menjadi pemisah antara bacaan surah dan lafaz takbir untuk rukuk. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 93)

Tambahan lagi, Ibn Qudamah juga ada meletakan satu fasal mengenai apabila selesai membaca surah — yakni selain surah al-Fatihah. Kemudian beliau menukilkan kenyataan Imam Ahmad yang menyatakan bahawa:

يَثْبُتُ قَائِمًا، وَيَسْكُتُ حَتَّى يَرْجِعَ إلَيْهِ نَفَسُهُ قَبْلَ أَنْ يَرْكَعَ، وَلَا يَصِلُ قِرَاءَتَهُ بِتَكْبِيرَةِ الرُّكُوعِ

Maksudnya: “Tetaplah berdiri dan diam sehingga kembali fokus sebelum rukuk dan janganlah menyambung bacaan (surah tersebut) dengan takbir untuk rukuk.”

(Lihat al-Mughni, 1/356-357.)

Selain itu juga, dapat difahami daripada kenyataan Imam Ahmad di atas bahawa seolah-olah diam itu menjadi isyarat kepada orang yang sedang mendirikan itu, supaya jangan tergesa-gesa dan tergopoh gapah ketika menunaikan ibadah solat sehingga dilihat seperti menggabungkan dua bacaan berbeza, yang sepatutnya dipisahkan. Akan tetapi, sebaliknya tunaikanlah ibadah solat itu dengan penuh kusyuk dan berfokus.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan kepada orang yang sedang mendirikan solat untuk diam sebentar selepas selesai membaca surah pilihan dan sebelum mengangkat dan melafazkan takbir untuk rukuk, dengan kadar tempoh yang sangat singkat atau lebih kurang pada kadar bacaan “Subhanallah”.

Hikmahnya, supaya diam tersebut menjadi pemisah antara bacaan surah pilihan tadi dan lafaz takbir sebelum rukuk, serta menjadi isyarat dan ingatan buat orang yang sedang mendirikan solat itu agar tidak tergesa-gesa mahupun tergopoh gapah dalam menunaikan ibadah solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

Leave a Reply