Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah Imam Abu Hanifah menulis kitab hadith?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
(Surah al-Baqarah: 269)
Menjawab persoalan di atas, tanpa dinafikan, Imam Abu Hanifah terkenal dengan semangat menuntut ilmu. Beliau cukup prihatin dengan ilmu hadith. Justeru, beliau mendengar hadith daripada ramai guru-guru yang mulia. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 6/392)
Walaupun begitu, beliau termasuk dalam golongan yang sedikit dalam meriwayatkan hadith. Boleh jadi sebabnya kerana beliau begitu tegas dalam periwayatan. Sebab itu, beliau berkata:
لَا حُجَّةَ إِلَّا فِيْمَا رَوَاهُ الرَّاوِي مِنْ حِفْظِهِ
Maksudnya: “Tidak ada hujah kecuali perawi yang meriwayatkannya dari hafazannya.” (Lihat ‘Ulum al-Hadith oleh Ibn al-Solah, 185-186)
Para ulama berselisih pendapat nisbah musnad kepadanya. Adakah itu tulisan Abu Hanifah atau ia merupakan riwayat sahabatnya daripadanya yang mereka terima mengikut cara pembelajaran fiqhnya.
Pendapat yang rajih sebagaimana kebanyakan ahli tahqiq di kalangan muhaddisin menyebut bahawa tidak terdapat satu karya hadith pun yang boleh dinisbahkan kepada Imam Abu Hanifah. (Lihat al-Imam Abu Hanifah Baina Ahl al-Fiqh wa Ahl al-Hadith oleh Sa’d bin Abdullah al-Sa’dan)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”