Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum berzikir ketika saie dalam keadaan haid?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Wanita yang kedatangan haid adalah diharuskan untuk berzikir baik ketika saie mahupun selainnya bahkan dibolehkan baginya membaca ayat-ayat al-quran dengan niat berzikir. Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi: Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama’ bersepakat tentang keharusan tasbih, tahlil, dan semua zikir selain al-Quran bagi wanita haid dan wanita nifas. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/357)
Begitu juga Syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa: Adapun bertasbih, bertahlil, berzikir, berdoa dan beristighfar, semua ini adalah disyariatkan untuk semua, baik bagi yang berjunub, haid, nifas, atau pun dalam keadaan berhadas. Semua ini tidak diharamkan bagi mereka.[1]
Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba‘isyan menyatakan ketika mensyarahkan kalam Imam Ibn Hajar al-Haitami mengatakan bahawa : Jika seseorang membaca ayat al-Quran dengan niat berzikir, khutbah, cerita, atau sebagai perlindung, maka tidaklah dilarang. (Lihat Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, hlm. 130)
Dr. Nuh Ali Salman mengatakan di dalam fatwanya di Dairah al-Ifta’ al-Urduniyyah bahawa: Dibolehkan bagi wanita haid untuk membaca ayat al-Quran dengan niat zikir perlindungan daripada keburukan, seperti membaca ayat kursi dan al-Mu‘awwizatain (iaitu surah al-Falaq dan surah al-Nas).[2]
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Nota Hujung:
[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/17257/%D9%8A%D8% Diakses pada 25 Mac 2024
[2] Lihat https://aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=2116# Diakses pada 25 Mac 2024