Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Imam Ahmad amat cintakan ilmu dan mengajar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
Surah al-Taubah (122)
Pada ayat ini, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan suruhan untuk sebahagian umat Islam mempelajari ilmu agama dan kemudiannya mengajarkannya pada orang ramai. Syeikh al-Sa’di ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa Allah S.W.T menyuruh sebahagian daripada umatnya untuk mempelajari ilmu syarak dan mempelajari larangan-larangan agama, memahami rahsia-rahsianya, dan mempelajari juga ilmu selainnya dan seterusnya mengajar kaumnya setelah sebahagian dari mereka yang lain pulang (dari berjihad). (Lihat: Tafsir al-Sa’di; hlm.355)
Menjawab persoalan di atas, pernah suatu masa Imam Ahmad ditahan oleh pemerintah di rumahnya tanpa boleh menyampaikan ilmu serta mengajar kepada mana-mana orang. Namun, terdapat seorang penuntut ilmu yang bernama Baqi bin Makhlad yang berusaha mendekatinya bagi mempelajari ilmu daripadanya. Kecintaan Imam Ahmad terhadap ilmu dan pengajarannya membuatkan beliau bersetuju untuk menyampaikan ilmu kepadanya.
Kami nukilkan kisah tersebut di sini agar kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran seterusnya dapat kita terapkan dalam usaha kita mempelajari ilmu dan menyampaikannya.
Penuntut ilmu yang bersama Imam Ahmad ketika itu adalah Baqi bin Makhlad bin Yazid. Beliau dilahirkan pada tahun 201 Hijrah. (Lihat Tarikh Ulama’ al-Andalus oleh Ibn al-Faradhi, 2/93). Di dalam kitab al-Manhaj al-Ahmad fi Tarajim Ashab al-Imam Ahmad, karya al-Ulaimi, (1/177) dan Ikhtisar al-Nablusi li Tabaqat al-Hanabilah oleh Ibn Ya’la (hlm. 79) turut menyebut berkenaan biografi Imam Baqi bin Makhlad Al-Andalusi.
Disebut bahawa beliau telah bermusafir dari negerinya nun jauh ke kota Baghdad dengan hanya berjalan kaki. Himmah dan cita-cita besarnya semata-mata untuk bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal dan menuntut ilmu daripadanya.
Beliau menceritakan: “Ketika aku hampir tiba ke kota Baghdad, aku mendengar berita ujian yang menimpa Ahmad bin Hanbal iaitu ditahan di rumahnya tanpa boleh menyampaikan ilmu serta mengajar kepada mana-mana orang. Aku merasa amat sedih disebabkan itu. Lalu aku pun mencari tempat tinggal untuk aku menetap.
Setelah aku letakkan baranganku di satu bilik kecil yang aku sewa, lantas aku terus menuju ke masjid jami’ yang besar. Aku amat ingin duduk bersama penuntut ilmu dalam halaqah-halaqah yang ada dan mendengar apa yang mereka bincangkan.
Aku hadir ke sebuah majlis ilmu yang mulia. Terdapat seorang lelaki yang sedang membicarakan keadaan para perawi. Beliau mendha’ifkannya dan menguatkan mereka. Aku bertanya kepada orang yang berada berhampiranku, “Siapakah dia?” Orang itu menjawab, “Itulah Yahya bin Ma’in.”
Aku melihat ada ruang yang kosong berhampiran dengannya. Aku cepat-cepat menuju kepadanya sambil berkata, “Wahai Abu Zakariya, semoga Allah merahmatimu. Aku adalah seorang lelaki perantau dari negeri yang jauh. Aku ingin bertanya, mohon jangan meremehkanku.” Lantas katanya kepadaku, “Silakan.” Maka, aku bertanya kepadanya tentang sebahagian ahli hadith yang pernah aku temui. Dia memberi jawapan dan pujian yang baik kepada sebahagian dari mereka, dan menyebut dengan kecacatan pada sebahagian yang lain.
Di akhir pertanyaan, aku bertanya kepadanya tentang Hisyam bin Ammar di mana aku sendiri banyak mengambil ilmu darinya. Yahya berkata, “Abu al-Walid Hisyam bin Ammar, ahli solat dan ibadat dari kota Damsyiq. Thiqah bahkan lebih dari thiqah. Dan, kalau pun dalam pakaiannya terdapat kesombongan atau takabbur, nescaya dia bermujahadah untuk menentang kesombongan tersebut. Ini kerana ia tidak dapat mempengaruhi keadaannya lantaran kebaikan dan kemuliaannya.”
Maka, orang-orang yang berada di halaqah berteriak, “Cukup bagimu, semoga Allah merahmatimu. Orang lain juga ingin bertanya.” Dalam keadaan berdiri, aku sempat bertanya: “Boleh aku tahu berkenaan seorang lelaki bernama Ahmad bin Hanbal?” Maka, Yahya bin Ma’in memandangku dengan hairan. Beliau berkata kepadaku, “Orang seperti kita membicarakan Ahmad bin Hanbal? Beliau adalah Imam umat Islam. Orang terbaik dan termulia dari kalangan mereka.”
Aku pun keluar mencari kedudukan rumah Imam Ahmad bin Hanbal. Aku menjumpai seseorang yang dapat membantu menunjukkan jalan ke rumahnya. Aku mengetuk pintu rumahnya.
Imam Ahmad lalu keluar dan membuka pintu. Dia melihat lelaki yang belum pernah dikenalinya. Aku berkata, “Wahai Abu Abdillah, saya adalah seorang lelaki perantau, yang negerinya jauh. Ini adalah kedatanganku pertama kali di negeri ini. Aku menuntut ilmu hadith dan pengumpul sunnah. Aku tidak bermusafir sejauh ini kecuali hanya kepadamu.” Dia berkata kepadaku, “Masuklah lorong itu dan jangan sampai terlihat oleh seorang pun.”
Lantas beliau bertanya kepadaku, “Di mana negerimu?” Aku menjawab, “Daerah Maghrib yang jauh.” Beliau bertanya kepadaku, “Afrika?” Aku menjawab, “Lebih jauh dari itu. Aku menyeberangi lautan untuk tiba ke Afrika. Negeriku Andalus.” Beliau berkata, “Negerimu benar-benar jauh. Tidak ada sesuatu yang lebih aku sukai daripada membantu orang sepertimu dengan baik, untuk mewujudkan keinginannya. Hanya kerana saat ini aku sedang menghadapi ujian dengan sesuatu yang mungkin kamu telah mendengarkannya.” Aku menjawab, “Benar, aku telah mendengarnya ketika aku berjalan ingin menemuimu dan hampir tiba di sini.”
Aku bertanya kepadanya, “Wahai Abu Abdillah, ini adalah kedatanganku yang pertama kali. Aku adalah orang yang tidak dikenali di kalangan mereka. Jika Syeikh bersetuju, aku akan datang setiap hari dengan menyamar sebagai peminta sedekah. Di depan pintu, aku akan mengucapkan apa yang sering diucapkan para pengemis. Lalu, Syeikh keluar ke tempat ini. Seandainya Syeikh menyampaikan setiap hari hanya satu hadith sahaja, maka itu sudah cukup bagiku.”
Beliau menjawab, “Ya, dengan syarat kamu jangan muncul di halaqah-halaqah, dan tidak pula kepada para ahli hadith.” Aku menjawab, “Saya berjanji.”
Pada hari berikutnya, aku mengambil ranting pohon dengan tanganku, kemudian membalut kepalaku dengan kain. Kertas dan dakwat aku sembunyikan di sebalik lengan bajuku. Lalu, aku datang ke pintu rumahnya sambil berteriak, “Pahala, semoga Allah merahmati kamu!” Begitulah yang diteriakkan oleh para peminta sedekah di sana. Maka, beliau keluar kepadaku dan menutup pintu. Beliau menyampaikan dua, tiga hadith atau lebih kepadaku. Aku terus melakukan hal tersebut sehinggalah orang yang menimpakan ujian kepada beliau telah mati.
Setelah itu, kepemimpinan diambil alih oleh orang yang berpegang kepada mazhab ahli al-sunnah. Maka, nama Ahmad bin Hanbal kembali masyhur. Beliau dihormati di mata manusia dan ketokohannya menjadi terkenal. Maka orang ramai lalu datang berduyun-duyun kepadanya. (Lihat Safahat min Sabr al-Ulama’ oleh Syeikh Abd al-Fattah Abu Ghuddah)
Begitulah kisah yang dicatatkan bagaimana cintanya Imam Ahmad kepada ilmu sehingga sanggup mengajarkannya walau berada dalam keadaan sedemikian.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”